TENOM: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) memutuskan untuk meletak calon di tiga kerusi Parlimen di pedalaman Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presidennya, Datuk Peter Anthony berkata, beliau akan bertanding di salah sebuah kerusi Parlimen itu iaitu Tenom.
“Saya mengumumkan bahawa saya akan bertanding di Parlimen Tenom. Saya akan bertanding kerusi Parlimen buat kali pertama.
“Dua calon lain di Pensiangan dan Keningau pula saya akan umumkan pada 2 atau 3 November ini. Kita bersetuju untuk bertanding di kedua-dua kerusi Parlimen berkenaan.
“Namun, nama calon sudah ada dalam senarai cuma mungkin ada sedikit sebanyak lagi tapisan perlu dilakukan sebelum kita umumkan calon. Kita juga akan bertanding di kawasan lain yang kita sudah kenal pasti calon berpotensi,” katanya dalam program bersama masyarakat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Saga semalam.
Menurut beliau, parti KDM akan bergerak secara solo dan tidak terikat dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahupun UMNO/Barisan Nasional (BN).
Namun, di peringkat negeri, parti ini mesra kepada kerajaan yang memerintah tapi, di peringkat Persekutuan tidak mempunyai kerajaan. Jadi, bila kerajaan Persekutuan dibentuk maka, KDM akan menghormati kerajaan baharu itu.
“Kita akan hormati sesiapa sahaja yang mendapat mandat rakyat dan dipilih di peringkat Persekutuan.
“Kita kena ‘gentleman’ kalau kita kalah, kalahlah namun, kita harus hormati atau memberi kepercayaan kepada parti-parti yang dapat membentuk kerajaan kerana itupun atas pilihan Yang di-Pertuan Agong maka, kita kena akur,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu berkata, beliau meletak kepercayaan kepada GRS untuk menentukan kedudukan parti KDM yang ingin menyertai GRS.
Permohonan menyertai GRS telah dikemukakan pada Mac lalu namun, sehingga kini permohonan itu belum lagi diterima oleh kepimpinan GRS. – UTUSAN










