ALOR SETAR: Seorang petani dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anaknya di kediaman mereka, dua minggu lalu.
Pertuduhan terhadap Muhammad Nasyran Zamzury, 28, dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd. Noor dengan tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang turut memiliki dua lagi anak perempuan berusia setahun dan enam tahun didakwa membunuh bayi lelakinya yang berusia tiga bulan, Muhammad Annas Muhammad Nasyran.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Sungai Lintang, Mukim Padang Hang di sini, antara pukul 9 malam 4 Oktober hingga 1.30 petang 10 Oktober lalu.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan, sekali gus menyebabkan tertuduh tidak ditawarkan sebarang jaminan.
Selain itu, tertuduh turut berdepan tiga lagi pertuduhan di mahkamah sama dengan salah satunya adalah memasukkan dadah berbahaya jenis methamphetamine ke dalam dirinya tanpa kebenaran pihak berwajib.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kira-kira pukul 7 petang, 10 Oktober lalu.
Tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu dan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 18 Disember ini sementara menunggu laporan patologi.
Lelaki itu kemudiannya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan bekas teman wanitanya yang kini berusia 26 tahun di sebuah bilik sewa di Jalan Meranti Off Jalan Putra di sini, kira-kira pukul 7 pagi, 5 Mei 2019.
Kes tersebut juga ditetapkan untuk disebut semula pada 20 November ini sementara menunggu serahan semula dokumen dengan tiada jaminan ditawarkan.
Untuk pertuduhan terakhir, mahkamah menjatuhkan hukuman 14 bulan penjara terhadap tertuduh setelah dia mengaku bersalah dengan sengaja mencederakan isterinya, Siti Nur Kamalia Kamaruddin, 22, kira-kira pukul 5 petang, 4 Oktober lalu.
Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama.
Kesemua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Nurfatin Mastura Asri manakala tertuduh hanya diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Zuriyah Mohd Nordin untuk pertuduhan terakhir dihadapi iaitu mencederakan isterinya. – UTUSAN