KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Ampang menetapkan perbicaraan usahawan kosmetik, Safiey Ilias atas empat pertuduhan seksual terhadap dua remaja lelaki melalui laman sosial Instagram, didengar selama empat hari bermula 24 Julai tahun depan.
Hakim Norhazani Hamzah menetapkan perbicaraan didengar sehingga 27 Julai 2023 selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan tarikh-tarikh yang dicadangkan.
“Saya sedia dibicarakan, sepanjang kes saya telah memberi kerjasama yang baik,” jelasnya ringkas ketika ditemui wakil media di pekarangan mahkamah selepas prosiding sebutan kes berkenaan hari ini.
Menurut Safiey Ilias atau nama sebenarnya Mohd. Safiuddin Ilias, 28, dia tiada masalah dibicarakan dan memberi jaminan akan mematuhi prosedur mahkamah.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Nurhashimah Hashim memaklumkan pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan.
“Seramai 12 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan,” kata Nurhashimah.
Sejurus selepas dimaklumkan perkara itu, peguam Harjeet Singh Sidhu yang mewakili Safiey Ilias mengesahkan telah menerima dokumen-dokumen terbabit selain bersetuju dengan tarikh-tarikh perbicaraan yang dicadangkan.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 April tahun depan untuk pengurusan kes seterusnya sebelum perbicaraan bermula.
Mengikut dua pertuduhan, Safiey Ilias yang popular dengar lagu ‘Syinta Gila’, didakwa berkomunikasi secara seksual melalui platform Instragram dengan dua remaja lelaki yang ketika itu berusia 14 tahun.
Sementara dua lagi pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal iaitu menggoyang-goyangkan payudara di hadapan dua remaja sama bagi maksud seksual.
Safiey Ilias didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di sebuah rumah di Bandar Baru Bangi, pukul 9 pagi pada 9 Jun 2021.
Pada 15 Ogos lalu, Safiey hadir di mahkamah yang sama bagi sebutan kes atas dua pertuduhan melibatkan perlakuan berunsur seksual terhadap seorang pelajar lelaki melalui laman Instagram.
Safiey hadir di hadapan Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob selepas kesnya dipindahkan daripada Mahkamah Sesyen Putrajaya ke Ampang.
Bagi kesemua pertuduhan itu, Safiey Ilias didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Seksyen itu membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan Seksyen 15 (a)(i) yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes itu mendapat perhatian umum ekoran laporan polis dibuat oleh seorang pensyarah sebuah pusat pengajian tinggi pada 9 Jun 2021 selepas beliau bimbangkan aksi lucah yang dipamerkan oleh usahawan kosmetik itu.
Safiey yang menggunakan akaun Instgram, ‘safieyilias94’, turut mempertontonkan cara menghisap vape atau rokok elektronik kepada remaja terbabit ketika sesi sidang video tersebut.
Laporan itu dibuat bertujuan menggesa pihak berwajib segera mengambil tindakan terhadap usahawan kontroversi itu yang menggunakan saluran Instagram Live miliknya sebagai platform untuk melakukan antunan seksual (sexual grooming) ke atas pengguna media sosial remaja.
Sehari kemudian, usahawan kosmetik tersebut ditahan dan selanjutnya direman selama tiga hari sehingga 13 Jun 2021. – UTUSAN