KUALA LUMPUR: Semua kerusi Parlimen menyaksikan sekurang-kurangnya pertembungan tiga penjuru selepas Pas dan UMNO gagal mencapai kata sepakat berhubung 27 kawasan yang ditandingi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Situasi itu selepas UMNO menegaskan terus bergerak ke hadapan tanpa Pas pada PRU15 dan masa semakin untuk meneruskan rundingan memandangkan Parlimen dibubarkan kelmarin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, keadaan semasa menyaksikan perundingan sukar diteruskan antara kedua-dua parti itu.
“Walaupun kita harapkan berlaku satu lawan satu, tidak bertembung antara Pas dan UMNO, tetapi suasana seperti ini, pembubaran Parlimen sudah diumumkan.
“Jadi, kemungkinan untuk satu lawan satu agak tipis dan 27 kerusi kerusi ini hampir gagal untuk diselamatkan. Bukan itu sahaja, malah mungkin lebih daripada itu kerusi yang mungkin gagal untuk diselamatkan, berisiko untuk jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan UMNO telah memuktamadkan pendiriannya untuk bergerak solo dalam PRU15 selepas Pas memutuskan untuk terus bekerjasama dengan gus Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Perkara itu ditegaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Mengulas lanjut, Zuhdi dalam masa yang sama mengakui kerjasama UMNO dan Pas lebih menguntungkan, malah lebih 27 kerusi yang berisiko jatuh ke tangan PH boleh diselamatkan.
Namun katanya, Pas ‘terikat’ yang mana Bersatu tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja.
“Pada saya rugi (tiada kerjasama UMNO dan Pas), bahkan kalau UMNO-Pas dapat membuat pembahagian kerusi, ada ‘ketumbukan’ bersama melawan PH, ia memberi impak besar.
“Tetapi itu tidak berlaku kerana Pas terikat. Kita sudah ada perbincangan dan pelancaran Perikatan Nasional (PN) di peringkat negeri, sudah ada penyerahan watikah, penyelaras Parlimen.
Contohnya kalau penyelaras di sesebuah Parlimen diletakkan Bersatu, jadi Bersatu lah yang akan letakkan calon di situ. Sukar sekiranya Pas ingin berpatah balik untuk tinggalkan Bersatu dan kerjasama dengan UMNO,” katanya.
Ditanya apakah Pas akan membuat ‘pengorbanan’ dengan memberi laluan kepada UMNO di 27 kerusi yang berisiko jatuh ke tangan PH, Zuhdi berkata, ia perkara mustahil kerana Bersatu pasti meletakkan calon di kerusi berkenaan jika Pas tidak berbuat demikian.
Terdahulu, beliau berkata, sekurang-kurangnya 27 kerusi berada dalam kedudukan bahaya untuk jatuh ke tangan PH jika Pas dan UMNO terus berebut kerusi pada PRU akan datang.
Namun, beliau percaya kerjasama di bawah Muafakat Nasional (MN) boleh membuktikan perbezaan dalam menghalang PH memenangi PRU berkenaan. – UTUSAN










