Pernyataan saksi kepada SPRM perlu dinyahklasifikasi - peguam - Utusan Malaysia

Pernyataan saksi kepada SPRM perlu dinyahklasifikasi – peguam

AHMAD Zahid Hamidi hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, pihak pembelaan hanya boleh mengambil bahagian dalam prosiding mencabar kredibiliti saksi jika dokumen yang dipertikaikan telah dinyahklasifikasi.

Beliau berhujah, ini kerana dokumen tiga halaman mengandungi kenyataan saksi pembelaan ketiga kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018 telah diklasifikasikan sebagai sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Hisyam yang mewakili Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, pihak pembelaan tidak boleh mengambil bahagian dalam prosiding mencabar kebolehpercayaan saksinya selagi dokumen yang dipertikaikan tidak dinyahklasifikasi.

“Pihak pembelaan boleh dikira melanggar undang-undang jika memiliki atau melihat dokumen berkenaan.

“Selepas dokumen itu dinyahklasifikasi, baru kami boleh mengambil bahagian dalam prosiding ini,” katanya.

Hisyam berhujah demikian ketika membantah cara prosiding mencabar kebolehpercayaan Pengarah Syarikat Pembinaan Teknik Sempurna Sdn. Bhd., Jefri Jamil yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan mengikut Sekyen 155 Akta Keterangan 1950.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berhujah, peguam bela tidak perlu mengambil bahagian dalam prosiding berkenaan ia hanya di antara Jefri dan Hakim Mahkamah Tinggi.

Raja Rozela berkata, dokumen yang diklasifikasikan di bawah OSA masih boleh dikemukakan di mahkamah bagi prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi.

Hujah beliau, tindakan itu tidak boleh menyebabkan pembelaan dipertanggungjawabkan terhadap perkara yang boleh melanggar peruntukan undang-undang.

“Ini adalah prosiding kehakiman. Saya adalah penjawat awam dan Yang Arif adalah penjawat awam.

“Prosiding ini tidak akan menyebabkan pembelaan dipertanggungjawabkan. Tiada sesiapa di sini akan didakwa,” katanya.

Raja Rozela berkata, beliau tidak diberi kebenaran untuk menyahklasifikasikan dokumen berkenaan, bagaimanapun akan menimbangkan untuk meneliti perkara itu selepas dicadangkan oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Perbicaraan bersambung esok.

Pada 22 September lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pendakwaan untuk memulakan prosiding bagi mencabar kebolehpercayaan Jefri di bawah Seksyen 155.

Bagaimanapun, Hisyam ketika itu memohon penangguhan bagi membolehkan pihak pembelaan menjalankan penyelidikan dan menyediakan penghujahan.

Hisyam memaklumkan, ini kali pertama beliau berhadapan situasi di mana dokumen yang telah diklasifikasikan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), dijadikan subjek dalam prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi.

Raja Rozela memohon menyoal balas saksi pembelaan ketiga itu berhubung pembinaan sekolah agama dan masjid di Masjid Tanah, Melaka yang dibiayai menggunakan dana Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid.

Pihak pendakwaan berpendirian, keterangan Pengarah Syarikat Teknik Sempurna Sdn. Bhd. itu di mahkamah bercanggah dengan pernyataan yang diberikan kepada SPRM, empat tahun lalu.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan Presiden UMNO yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana yayasan untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya