Pengerusi Perhubungan UMNO diarah serah senarai calon PRU15

Pengerusi Perhubungan UMNO diarah serah senarai calon PRU15

AHMAD Zahid Hamidi bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam sidang akhbar selepas majlis Perjumpaan Khas Ketua Bahagian dan Ketua Tiga Sayap dari 191 bahagian bersama Presiden UMNO dan Perdana Menteri di WTCKL, hari ini. - FOTO/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri diarahkan menyerahkan senarai calon-calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) seawal pada Isnin depan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesemua senarai calon itu nanti akan dinilai dan dimuktamadkan oleh lima jawatan tertinggi UMNO mengikut kriteria Wali.

Katanya, Wali merujuk kepada ciri boleh memenangi (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable) yang berkaliber dan berdaya.

Ahmad Zahid kemudian menegaskan calon-calon PRU15 tidak ditentukan mengikut kluster tertentu sebaliknya memenuhi tiga kriteria dan disenangi pengundi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid mengakui Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah menyatakan komitmen menyokong calon-calon Barisan Nasional (BN) dalam PRU15.

“Saya juga ingin memaklumkan di Sabah, saya telah mengadakan perbincangan dengan kepimpinan GRS dan mereka telah memberikan perakuan bahawa GRS akan menyokong semua calon-calon BN. 

“Kami amat menghargainya dan semoga perkara ini dapat direalisasikan makna yang sebenar bila tiba masanya nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perjumpaan Khas Bersama Presiden UMNO dan Perdana Menteri di sini semalam.

Perjumpaan tertutup itu berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), melibatkan 764 pemimpin sayap 191 bahagian yang terdiri daripada Ketua UMNO Bahagian, Ketua Wanita UMNO, Ketua Pemuda UMNO dan Ketua Puteri UMNO.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan Pas bebas untuk menggunakan lambangnya sendiri jika parti itu memilih untuk bekerjasama dengan BN dan UMNO dalam PRU15.

Pada masa sama, Pas diminta memberikan jawapan dengan kadar segera untuk memutuskan berhubung rakan kerjasama sama ada pihaknya sendiri ataupun Perikatan Nasional (PN).

Beliau menegaskan BN dan UMNO akan bergerak solo sekiranya Pas gagal memenuhi syarat ditentukan pihaknya sebelum ini.

“Bukan lebih keyakinan, tetapi kami yakin bahawa tanpa mereka tentunya dalam menghadapi pilihan raya mengikut kaedah-kaedah tertentu.

“Tetapi jika mereka ingin bersama UMNO dan BN, mereka bebas menggunakan lambang sendiri dan kita boleh bertoleransi untuk menjalinkan kebersamaan jentera bagi menghadapi pilihan raya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perjumpaan Khas Bersama Presiden UMNO dan Perdana Menteri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya