BUTTERWORTH: Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen untuk mendapatkan keuntungan berjumlah RM4,995, tahun lalu.
Tertuduh, K. Surinderan, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, dia dengan curangnya telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu dokumen penghantaran Syarikat Sol N Sons Sdn. Bhd. yang bernilai RM4,995.
Tertuduh melakukan perbuatan itu di Lebuh Sungai Pinang, Jelutong pada 10 Mac 2021.
Dia didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama, iaitu sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilaksanakan Pegawai Pendakwa, Abd. Muntaqim Abdul Aziz manakala tertuduh diwakili peguam, E. Gunasegaran.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 selain menetapkan 25 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN