KOTA KINABALU: Ratusan penduduk Kampung Niatang, Pitas merayu kerajaan campur tangan bagi membantu menyelesaikan isu pemilikan tanah yang mereka terokai sejak berpuluh tahun lalu.
Penduduk kampung yang rasa tersepit susulan sebuah syarikat mula melakukan kerja-kerja membersihkan tanah di kawasan perkampungan mereka, sekumpulan penduduk meminta bantuan daripada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antrabangsa Malaysia (MHO).
Penyelaras MHO Sabah, Jerry Jaimeh berkata, sekumpulan penduduk kampung di situ bakal kehilangan tempat tinggal apabila tanah yang diduduki sejak berpuluh tahun akan diambil alih oleh syarikat swasta.
Walaupun penduduk kampung telah menghantar permohonan tanah sejak 1998, namun tiada maklum balas daripada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) sama ada ia diluluskan atau ditolak.
Penduduk asal yang menetap di situ sudah mengusahakan kawasan berkenaan dengan bercucuk tanam namun, baru-baru ini, pihak lain datang ke kawasan kampung untuk melakukan penyukatan tanah bagi mengambil alih tanah yang diduduki penduduk kampung.
“Penduduk di situ bakal diusir keluar dari Kampung Niatang. Jika dihalau, mereka pasti menghilangkan sumber pendapatan dan keperluan harian mereka untuk meneruskan kehidupan.
“Kampung itu merupakan satu-satunya tempat tinggal mereka dan tanah-tanah di situ sudah berpuluh tahun, pengambilan tanah itu hanya menambahkan lagi kesukaran hidup mereka,” katanya.
Ketika ini, keadaan jalan ke Kampung Niatang masih belum berturap dan sumber air masih bergantung kepada tadahan air bukit. Jika kawasan disekitarnya diceroboh dan diambil alih, ia pasti mengganggu sumber air penduduk setempat.
Justeru, MHO menyerahkan memorandum di JTU bagi memohon campur tangan kerajaan untuk memohon penundaan agar syarikat yang ingin mengambil alih tanah Kampung Niatang menangguhkan serta-merta kerja-kerja membersihkan tanah di situ.-UTUSAN