Pemulihan PMKS agenda utama MPN

Pemulihan PMKS agenda utama MPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agenda memperkasakan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sering kali menjadi topik hangat yang dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Ia selepas PMKS menjadi antara sektor yang paling terjejas akibat penularan Covid-19 selain situasi ekonomi global turut menyumbang kepada kemerosotan sumbangan industri kepada pembangunan ekonomi Malaysia.

Ahli MPN, Datuk Michael Kang berkata, bagi membantu PMKS bangkit semula, kerajaan perlu mewujudkan satu polisi khas bagi mendorong PKMS merancakkan kembali ekonomi negara.

Katanya, garis panduan itu termasuk dalam aspek pinjaman bank, permohonan bantuan, permohonan pekerja asing, pembekalan untuk peringkat domestik dan global sekali gus dapat memastikan PMKS dapat kembali bangkit dalam kadar segera.

“Umum tahu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kebanyakan PMKS tidak dapat beroperasi atas kekangan tertentu dan ketika itu ada dalam kalangan pengusaha terpaksa mengecilkan operasi dan lebih teruk ada yang gulung tikar.

“Jadi, untuk kembali bangkit, PMKS perlukan sokongan kerajaan. Ada antara usahawan ketika ini bermasalah dalam pusingan modal kerana tidak dapat beroperasi sebelum ini. Jadi kerajaan kena ambil peranan untuk bantu golongan ini.

“Antara yang paling terjejas teruk dalam tempoh sebelum dan pasca pandemik ialah kontraktor untuk sektor pembinaan, pelancongan dan pembuatan. Untuk eksport juga, ada negara luar sudah cari pembekal baharu kerana kita tidak dapat buat pengeluaran.

“Maka, kerajaan perlu ambil langkah drastik dan memainkan perananan untuk menyokong PMKS. Ambil contoh Thailand, macam mana kerajaan mereka bantu industri untuk kembali bangkit dan pendekatan sama perlu diambil,” katanya.

MICHAEL KANG

Michael yang juga merupakan bekas Presiden Persatuan PKS Malaysia (SME Malaysia) turut bimbang jumlah pengusaha PMKS yang gulung tikar akan meningkat sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah drastik membantu mereka.

Selain itu katanya, antara isu yang selalu dibangkitkan pengusaha PMKS adalah masalah kekurangan tenaga kerja asing dalam pelbagai sektor terutamanya perladangan yang dilaporkan mengalami kerugian hampir RM20 bilion pada 2021.

Katanya, MPN dimaklumkan bahawa 1,152, 276 juta permohonan kuota pekerja asing telah diterima untuk semua sektor sehingga bulan September lalu dan sehingga kini, sebanyak 467,223 atau 40.5 peratus kuota telah diluluskan.

“Walaupun kuota sebanyak itu diluluskan, sehingga 12 September lalu, hanya 76,000 pekerja asing telah dibawa masuk ke Malaysia untuk memenuhi permintaan penggiat PMKS. Perkara ini agak kritikal sekarang kerana permintaan untuk tenaga buruh amat tinggi.

“Buat masa ini, kita kekurangan sejuta pekerja asing lagi. Sekurang-kurangnya bawa masuk 500,000 lagi baru cukup untuk menampung permintaan dan membantu PMKS untuk kembali bangkit serta terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu katanya, MPN juga telah mengemukakan dua syor utama kepada kerajaan bagi menangani masalah aliran tunai dan pembiayaan PMKS iaitu penubuhan Jawatankuasa Tindakan Khas Berkenaan Isu Kekangan Aliran Tunai dan Pembiayaan

“MPN juga telah mengesyorkan supaya pihak bank diberi kebenaran untuk meneruskan program penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan (moratorium) kepada PMKS yang memerlukannya,” katanya.

Selain itu katanya, antara kaedah lain untuk membantu PMKS ialah, kerajaan memikirkan kaedah pemberian geran atau pembiayaan istimewa dalam usaha menggalakkan mereka ke arah pendigitalan untuk perniagaan masing-masing.

Dalam pada itu, Michael turut berharap sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh dapat dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi sekali gus membolehkan sesuatu dasar dan keputusan memulihkan ekonomi negara dapat dibuat secara bersama.

“Dengan pembentukan kerajaan yang kukuh dan kuat, polisi yang baik diyakini dapat dibentuk untuk membantu PMKS sekali gus da[pat menyumbang secara tidak langung kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN