KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sedia meneliti tuntutan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu di dalam manifesto mereka bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengerusi Biro Penyelidikannya, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi berkata, sebahagian tuntutan yang dikemukan lebih 50 NGO tersebut adalah selari dengan perjuangan parti dan akan diterapkan sebaik mungkin.
Walau bagaimanapun, katanya, akan ada perbincangan lanjut bersama-sama NGO berkaitan untuk memperhalusi tuntutan tersebut.
“Saya diberikan mandat untuk hadir dan mendengar luahan hati serta cadangan-cadangan NGO Melayu untuk diterapkan ke dalam manifesto Pejuang dan Gerakan Tanah Air (GTA) menjelang PRU15.
“Alhamdulilah pemerhatian kita adalah semangat dibawa oleh manifesto ini selari dan seakan-akan memang betul dengan apa yang berada dalam hati nurani serta hasrat Pejuang untuk diperjuangkan dalam PRU15.
“Maka dengan ini saya boleh katakan bahawa Inshallah Pejuang akan membawa cadangan ini dan diterapkan sebaiknya ke dalam manifesto parti, mungkin tidak sebulat-bulatnya kerana harus dipertimbangkan dengan teliti dan mungkin perlukan sedikit perbincangan berterusan dengan pihak-pihak NGO,” katanya semasa sidang media, di sini.
Tuntutan tersebut adalah menolak pemimpin rasuah dan salah guna kuasa, mewujudkan Kementerian Hal Ehwal Pribumi dan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi mencapai matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030),
Selain itu, merapatkan jurang telekomunikasi antara bandar dan desa, memaksimakan potensi sumber tenaga Melayu, memperkasa sistem ekonomi Islam, memartabatkan sejarah dan warisan Melayu, memimpin komuniti niaga Melayu Nusantara dan memberi ruang kepada pemimpin NGO ke dalam Dewan Negara atau Kabinet.
Mengulas lanjut, Akhramsyah Muammar berkata, teras utama tuntutan tersebut iaitu menolak pemimpin yang menjalankan aktiviti rasuah dan salah guna kuasa adalah sangat diterima oleh Pejuang.
“Boleh dikatakan teras utama yang boleh kita terima pakai sekarang juga adalah semangat untuk menolak pemimpin-pemimpin yang menyeleweng kerana masalah besar orang Melayu dan bumiputera sekarang adalah sifat anti-Melayu.
“Pemimpin Melayu yang membunuh Melayu dan sekaligus pemimpin itu yang menyebabkan kerosakan masa depan masyarakat Malaysia. Jadi kita akan memerangi perangai-perangai seperti ini habis-habisan untuk memastikan kita memartabatkan nama kepimpinan Melayu kembali dalam negara kita.
“Selain daripada itu, khusus tentang apa dicadangkan, kita rasa perjuangan berkait dengan wakaf dan juga memperkasakan tanah melayu. Itu Inshallah sekarang pun saya boleh katakan ia sebahagian daripada manifesto kita cuma perlu diolah sebaik-baiknya,” katanya. –UTUSAN