PETALING JAYA : Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara (DPP) berhubung empat kertas siasatan dakwaan salah laku Tan Sri Tommy Thomas.
Sumber memberitahu Utusan Malaysia, tiada sebarang keputusan diperoleh setakat ini memandangkan kertas siasatan berkenaan masih diteliti pihak DPP.
“Setakat ini tiada maklum balas lagi diterima PDRM,” kata sumber itu.
Mingguan Malaysia sebelum ini mendedahkan polis pada mulanya membuka lima kertas siasatan terhadap bekas Peguam Negara berkenaan namun hanya empat kertas siasatan yang diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
Sumber berkata, cadangan pertuduhan yang dikemukakan polis seperti yang terkandung dalam buku laporan Pasukan Petugas Khas bertajuk Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk My Story: Justice In The Wilderness Tulisan YBhg. Tan Sri Tommy Thomas, Bekas Peguam Negara yang dinyahsulit kerajaan pada Selasa lalu.
Menerusi laporan tersebut, Pasukan Petugas Khas mendapati Tommy mungkin melakukan kesalahan di bawah Seksyen 124I dan 203A Kanun Keseksaan; Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; dan di bawah peraturan, prosedur serta pekeliling Kerajaan.
Jumaat lalu, Utusan Malaysia menyenaraikan sembilan elemen kemungkinan berlaku salah laku bekas Peguam Negara itu.
Antaranya campur tangan Tommy dalam melantik hakim-hakim, membocorkan rahsia kerajaan, menyalahguna kuasa melantik peguam luar untuk mewakili kerajaan sehingga mencemarkan imej badan kehakiman.
Selain itu, Tommy turut tidak patuh dengan peraturan dan pekeliling kerajaan berhubung isu penjualan kapal Equanimity dan melakukan kecuaian profesional dalam isu membabitkan tuntutan tanah di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.
Dalam pada itu, mengenai sama ada PDRM telah memulakan siasatan atau sebaliknya terhadap kenyataan Tommy Thomas tentang kerajaan Melayu gagal dalam satu forum pada bulan lalu, sumber berkata, semakan lanjut perlu dilakukan.
“Tidak dapat dipastikan, perlu semak mengenai perkara itu terlebih dahulu,” jelasnya.
Terdahulu, sebuah portal mendedahkan PDRM juga menyiasat kenyataan Tommy Thomas dan pengerusi Parti Sosialis Malaysia, Dr Michael Jeyakumar Devaraj.
Mereka telah dipanggil Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman untuk memberi keterangan mengenai kes itu pada khamis lalu. –UTUSAN