Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bincang harga barangan

Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bincang kenaikan harga barangan minggu depan

ANNUAR Musa (empat dari kiri) menyampaikan sijil kepada sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM pada Program Himpunan Sahabat Usahawan AIM, Wilayah Kelantan di Kompleks YKK, Melor, Kelantan hari ini. - FOTO/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jawatankuasa Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan bersidang minggu depan bagi membincangkan mengenai tekanan berkait kenaikan harga barang dan bekalan menjelang musim tengkujuh.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, persiapan segera perlu dibuat memandangkan kenaikan nilai dolar Amerika Syarikat yang semakin tinggi akan menyebabkan peningkatan harga barangan import yang boleh memberi tekanan inflasi kepada negara.

Menurutnya, penekanan kepada langkah itu bagi meningkatkan pengeluaran produk dalam negara terutamanya berkait dengan bahan-bahan makanan.

“Antara yang boleh memainkan peranan adalah usahawan dan peserta-peserta Amanah Ikhtiar Berhad (AIM) dengan meningkatkan barang makanan yang bersifat import subsidi dan gantian import.

“Selain itu, kita akan membincangkan kedudukan bekalan barang-barang makanan menjelang musim tengkujuh bagi memastikan stok tidak tergendala,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Himpunan Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Wilayah Kelantan di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Melor, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Annuar memberitahu, sekiranya negara mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran barang-barang tempatan dengan sendirinya ia dapat mengurangkan kebergantungan terhadap import terutama ikan dan sayur-sayuran berkualiti tinggi yang biasa digunakan di hotel serta restoran.

Katanya, sesetengah barang yang mengalami kekurangan bekalan termasuk barangan tempatan seperti telur dan ayam, boleh menjadikan ayam kampung sebagai alternatif dan pengeluaran ayam kampung sebagai gantian.

Annuar berkata, penggunaan teknologi dalam pertanian secara intensif termasuk ‘vertical farming’ juga perlu digunakan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan makanan.

“Penggunaan internet pelbagai benda (IoT) dalam sektor agromakanan yang banyak dipromosikan ketika Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) baru-baru ini juga dapat membantu menangani kekurangan bekalan serta tekanan kenaikan harga barang.

“Kita turut memberi bantuan kepada syarikat-syarikat telco untuk memperbaiki mutu rangkaian talian supaya usahawan-usahawan boleh mengaplikasikan kaedah IoT bagi meningkatkan pengeluaran dalam negara secara serta-merta dan meluas,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN