JOHOR BAHRU: Wang simpanan pasangan pesara sebanyak RM120,000 lesap kerana diperdaya ‘kakitangan pos laju’ Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa berusia 68 tahun mendakwa dirinya dan suami telah ditipu oleh sindiket yang menyamar sebagai kakitangan pos laju.
Dalam kejadian pukul 3.50 petang, suami pengadu menerima panggilan daripada suspek memaklumkan dirinya ada menggunakan perkhidmatan pos laju untuk penghantaran barang dari Kuala Perlis ke Kuantan.
Mangsa pada awalnya menafikan ada menggunakan perkhidmatan itu, namun suspek mengatakan ada individu lain menggunakan nama mangsa bagi tujuan tersebut.
“Suspek kemudiannya memberitahu panggilan akan disambungkan ke Balai Polis Kuala Perlis untuk siasatan dan meminta mangsa supaya memberikan kerjasama jika tidak mahu dikenakan tindakan oleh pihak polis.
“Suspek kemudiannya meminta mangsa memberikan maklumat akaun bank milik kedua-dua mangsa yang ada mempunyai wang simpanan untuk tindakan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Sohaimi berkata, mangsa telah memberikan maklumat akaun serta maklumat kad ATM kepada suspek.
Setelah menyerahkan maklumat akaun itu, mangsa telah menceritakan tentang panggilan tersebut kepada salah seorang ahli keluarga yang lain dan barulah sedar bahawa dia telah ditipu.
“Semakan lanjut dengan pihak bank, terdapat 15 transaksi pindahan wang daripada akaun mangsa ke dua akaun lain keseluruhan berjumlah RM120,000,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai panggilan yang mendakwa sebagai kakitangan mana-mana agensi atau pihak berkuasa serta tidak sewenang-wenangnya mendedahkan maklumat akaun bank kepada pihak lain,” katanya. –UTUSAN










