KUALA TERENGGANU: Pas tetap berpegang kepada konsep wasatiyyah dalam amalan politik di negara ini dengan menolak fahaman fanatik perkauman melampau yang menjadi pegangan parti tertentu demi perpaduan dan kesejahteraan rakyat.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, konsep wasatiyyah sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan menegaskan Pas akan menentang mana-mana pihak yang cuba merungkaikannya.
Menurutnya, konsep wasatiyyah adalah tiada paksaan dalam menganut agama, rupa bangsa, bahasa dan budaya masing-masing selagi tidak bertindak melampau terhadap pihak yang lain.
Katanya, walaupun pernah bermusuhan dengan Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama, keadaan itu dapat ditumpulkan dan dipatahkan hasil konsep wasatiyyah yang dipegang oleh Pas.
“Penganjuran himpunan Kongres Maruah Melayu untuk bersama memujuk parti-parti besar Melayu Islam dan bumiputera bersama kalangan ilmuwan terkemuka dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjaya menyatukan dua parti itu
“Akhirnya, kita semua berjaya mengumpulkan tiga parti terbesar Melayu Islam dan bumiputera (UMNO, Pas dan Bersatu) bersama dengan parti lain dari Sabah dan Sarawak, termasuklah kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem.
“Hasil gabungan ini telah berjaya menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) dan menubuhkan sebuah kerajaan campuran Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam catatan Minda Presiden Pas di Facebook miliknya, semalam.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pas tetap mempertahankan konsep wasatiyyah dengan berada di tengah-tengah gelanggang pertembungan untuk menyelamatkan kerajaan PN.
Pada masa sama, menurutnya, beliau berharap agar parti bukan Islam yang tidak ekstrem menolak PH yang berideologi pragmatik dan liberal kerana PH tidak boleh menyelamatkan negara dan masyarakat majmuk di negara ini. – UTUSAN