KUALA LUMPUR: Pas tetap mencari jalan untuk terus bekerjasama dengan UMNO meskipun gagal memenuhi tiga syarat dikemukakan parti itu.
Naib Presiden Pas, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pintu rundingan masih dibuka bagi menyatukan ummah antara UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Kita masih mencuba, tidak tutup pintu.
“Kalau tengok kenyataan terakhir daripada Pas pun menuju kepada penyatuan ummah. Sebab kita rasa tidak boleh berputus asa sehingga ke titik terakhir,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat di ibu pejabat Pas, di sini hari ini.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menetapkan tiga syarat utama kepada Pas iaitu perlu keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) serta memutuskan hubungan politik dengan Bersatu.
Beliau berkata, Pas juga perlu mengisytiharkan secara rasmi bahawa parti itu sudah mufarakah’ (berpisah) sepenuhnya dengan PN dan Bersatu sekiranya mahu bekerjasam dengan UMNO.
Susulan itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu tetap meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan ‘komitmen’ ketiga-tiga parti teras-Melayu seterusnya menjamin kestabilan politik negara pasca PRU15.
Jelasnya, Pas berpandangan perlu ada ‘keanjalan’ dalam rundingan dengan pihak UMNO dan Bersatu, termasuk berhubung syarat-syarat yang dikemukakan dan rundingan kerusi yang sedang diusahakan. – UTUSAN