KUALA LUMPUR: Pas akan memuktamadkan kerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (BN) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Sabtu ini (8 Oktober).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pimpinan Pas yang tidak mahu mendedahkan namanya berkata, segala polemik berhubung kedudukan Pas dalam MN akan terungkai dalam mesyuarat kepemimpinan tertinggi parti itu nanti.
“Kita akan tahu 8 Oktober nanti,” katanya ringkas.
Pada 3 Oktober lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas akan membuat keputusan muktamad mengenai kerjasama dengan UMNO dalam MN sebelum hujung minggu ini.
Jelasnya, parti itu akan mengambil kira faedah dan mudarat yang bakal dihadapi pada setiap keputusan yang dilakukan.
Seorang lagi sumber turut mendedahkan yang Pas sebenarnya sudah mempunyai keputusan, namun akan dibawa secara rasmi dalam mesyuarat pada Sabtu ini.
“Pas dah ada keputusan, nampak ke arah UMNO, kita tunggu sahajalah keputusan rasmi. Sebab mereka pun boleh fikir, dengan Bersatu, Pas tidak boleh ‘bernyawa’,” katanya.
Akhbar ini terdahulu mendedahkan pertemuan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, sekali gus menguatkan cakap-cakap MN dihidupkan kembali bagi mengelakkan pertembungan dua parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Susulan daripada itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut mengenai perkara itu. – UTUSAN










