ARAU: Meskipun mengakui kecewa dengan keputusan UMNO yang terus ingin bergerak solo dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Pas tetap berpuas hati dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab memperjuang agenda penyatuan ummah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, agenda penyatuan ummah bersama UMNO sentiasa diteruskan meskipun bukan dalam pilihan raya kali ini yang semakin hampir.
Katanya, Pas bersedia berdepan PRU15 selepas Parlimen dibubarkan dengan beberapa perkara lagi bakal diperkemaskan termasuk dalam soal calon.
“Terpulanglah kepada UMNO (bergerak solo) dan apa yang penting kita sudah jalankan tugas dan tanggungjawab mengajak perpaduan ummah.
“Memang diakui kita sedikit kecewa tidak berjaya merealisasikan pertembungan satu lawan satu dalam PRU15 yang semakin hampir. Insya-Allah dengan izin Allah SWT agenda penyatuan ummah akan berjaya,” katanya.

HASHIM JASIN
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, UMNO memuktamadkan pendiriannya untuk bergerak solo dalam PRU15 selepas Pas memutuskan untuk terus bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Sebelum itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat memaklumkan, parti itu akan meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan ketiga-tiga parti teras Melayu bagi menjamin kestabilan politik negara pasca PRU15.
Kata Abdul Hadi, Pas berpandangan perlu ada ‘keanjalan’ dalam rundingan dengan pihak UMNO dan Bersatu termasuk berkenaan syarat-syarat yang dikemukakan dan rundingan kerusi yang sedang diusahakan.
Sementara itu, mengulas mengenai pembubaran Parlimen yang membolehkan PRU15 diadakan, Hashim berkata, keputusan itu dililhat dilakukan dalam keadaan mengejut dan terlalu gopoh.
“Saya lihat ketika ini tidak perlu lagi diadakan PRU15. Tapi apa pun, Parlimen sudah bubar jadi kita bersedialah berdepan PRU15,” katanya. – UTUSAN










