PETALING JAYA: Mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini menjadi tumpuan seluruh rakyat Malaysia yang tertunggu-tunggu sama ada Parlimen ke-14 akan dibubarkan atau tidak.
Ini susulan Perdana Menteri, telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam yang dikaitkan dengan kemungkinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan turut mencadangkan pembubaran Parlimen.
Walaupun pertemuan itu rutin setiap kali menjelang mesyuarat Kabinet, Perdana Menteri sendiri tidak menolak kemungkinan untuk mempersembahkan permohonan pembubaran Parlimen jika ada kesempatan.
“Tak pasti lagi nak bawa ke tidak (pembubaran Parlimen). Kalau bincang hal Kabinet panjang sangat sampai Maghrib, jadi (perbincangan) mengenai Kabinet sahaja. Kalau tak, sempat lah bincang hal lain.
“Saya memang menghadap Agong setiap minggu untuk pra-Kabinet bagi mempersembah kepada baginda apa yang nak dibincangkan dalam Kabinet atau Agong nak bagi pesanan kepada Kabinet dan sebagainya. Memang saya menghadap satu hari sebelum (mesyuarat) Kabinet,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau persiapan Bajet 2023 di Kementerian Kewangan.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, beliau belum pasti sama ada akan mempersembah isu pembubaran Parlimen kepada Seri Paduka atau tidak.
“Kalau hari biasa mesyuarat Kabinet pada Rabu, saya akan jumpa pukul 4 petang Selasa. (Tetapi) apabila Parlimen bersidang, Kabinet bermesyuarat Jumaat. Jadi saya menghadap Agong pada Khamis pukul 4 petang hari ini (semalam).
Mengulas tindakan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) mengutus surat kepada Seri Paduka supaya PRU15 tidak diadakan tahun ini, Ismail Sabri berkata, sesiapa sahaja berhak memberikan pandangan, tetapi kuasa pemutus adalah Agong.
“Kalau mereka nak tulis surat ke, nak buat kenyataan akhbar ke, itu boleh dan bebas tetapi akhirnya kuasa Agong,” katanya.
Tindakan itu disahkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin apabila beliau mengakui antara 12 barisan menteri Perikatan Nasional (PN) yang mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian supaya PRU15 tidak diadakan tahun ini.
Sementara itu, menurut satu sumber kepada Utusan Malaysia, keputusan pembubaran Parlimen dijangka diketahui hari ini jika Perdana Menteri membawa permintaan itu kepada Seri Paduka dan hasilnya kemudian dibawa ke dalam mesyuarat Kabinet untuk melihat kewajaran pembentangan Bajet 2023 perlu diteruskan atau sebaliknya.
“Tunggu sahaja mesyuarat Jemaah Menteri esok (hari ini),” katanya.
Sementara itu Yang di-Pertuan Agong semalam berkenan berangkat ke Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Ampang dekat sini bagi meninjau sendiri persiapan dan kesiapsiagaan negara berdepan musim banjir di seluruh negara menarik perhatian rakyat di saat desas-desus pembubaran Parlimen pada masa terdekat. – UTUSAN










