‘Nasi kosong, sotong RM25’, peniaga nafi ‘tekan harga’ - Utusan Malaysia

‘Nasi kosong, sotong RM25’, peniaga nafi ‘tekan harga’

ENDON Salleh menunjukkan senarai harga makanan yang tertera di kedai makannya untuk rujukan pelanggan. – UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pemilik kedai makan yang tular di bandar raya ini kerana dikatakan mengenakan harga yang mahal terhadap pelanggannya menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan perkara itu tidak berasas.

Endon Salleh, 55, berkata, harga menu makanan yang dijual di kedainya adalah berpatutan, malah senarai harga lauk-pauk juga ada ditampal untuk rujukan pelanggan.

“Harga kepala ikan merah segar adalah antara RM30 hingga RM50 mengikut saiz, begitu juga sotong segar antara RM10 hingga RM20 mengikut saiz.

“Harga ayam pula RM4.50 seketul, ikan patin masak tempoyak, RM7 atau RM8, ikan singgang RM5 manakala ikan gulai dan ikan goreng RM6 hingga RM8.

“Saya terkilan kerana pelanggan itu memuat naik video tanpa bertanya saya dan menjadi tular. Rasa sedih sebab perniagaan baru sahaja hendak ‘bernafas’ selepas Covid-19, diuji pula dengan video tular sebegini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin, seorang wanita mendakwa peniaga di sebuah kedai makan di sini menjual sepinggan nasi kosong dan sotong saiz kecil pada harga RM25.

Menerusi perkongsian klip video yang dimuat naik di TikTok itu, dia mengingatkan pelancong lain supaya berhati-hati ketika memilih kedai makan agar tidak menerima nasib sama.

Dalam video tersebut, wanita itu menunjukkan tiga harga makanan yang dikenakan terhadapnya iaitu RM98.30, RM44.90 dan RM82.40 dengan jumlah keseluruhan RM225.60 termasuk RM25 untuk nasi kosong serta sotong kecil yang dianggap tidak munasabah.

Endon berkata, beliau turut mengenakan harga yang sama seperti senarai tertera tanpa mengira sama ada pelanggan itu penduduk tempatan Terengganu atau pelancong luar.

“Tak ada istilah ‘tekan harga’ kepada orang luar, saya kira sama sahaja. Diharapkan orang ramai tidak terpengaruh dan berpandangan negatif terhadap kedai saya kerana ini punca rezeki kami sekeluarga,” kata­nya yang telah memulakan perniagaan itu sejak 30 tahun yang lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN