MACHANG : UMNO Kelantan yang sebelum ini kekal dengan pendirian untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sedia akur dengan ketetapan pucuk pimpinan tertinggi sekiranya wujud kembali kerjasama di antara parti itu dengan Pas menerusi Muafakat Nasional 2.0 (MN 2.0).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Ahmad Jazlan Yaakub bagaimanapun berkata, kerjasama berkenaan perlu bersyarat dengan kembali kepada matlamat asal iaitu permuafakatan yang mengutamakan kepentingan rakyat.
“Jika berkaitan dengan kepentingan rakyat ini kita tidak menolak sebarang permuafakatan. Namun kita akan merayu kepada pucuk pimpinan parti untuk membenarkan Kelantan bergerak secara solo atau perlawanan persahabatan (friendly match) selepas ini.
“Oleh itu, jika hendak berpakat (MN 2.0) biarlah betul-betul demi rakyat dan jika tidak serahkan mandat kepada rakyat. Biar rakyat yang membuat pilihan masing-masing,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Gabungan Silaturahim Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Malaysia di Kampung Jenereh Bongkok, Pulai Chondong di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Jazlan memberitahu pihaknya, akan mengemukakan senarai calon yang akan bertanding pada PRU15 ke ibu pejabat esok.
Katanya, seramai 73 calon telah dikemukakan bagi kerusi Parlimen manakala 232 calon untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Bagi kerusi yang sudah ada wakil rakyat daripada UMNO, kita akan mengemukakan enam calon manakala kerusi yang tiada wakil rakyat daripada UMNO, kita akan kemukakan lima calon kepada Presiden parti.
“Insya-Allah, pada hari Isnin (esok), saya akan menyerahkan senarai nama-nama calon dan selebihnya terpulang kepada Presiden parti untuk meneliti serta melihat calon yang sesuai sebelum dimuktamadkan,” ujarnya. – UTUSAN