MPPA seru warga pendidik tingkat kualiti, pertahan integrit

Hari Akademia: MPPA seru warga pendidik tingkat kualiti, pertahan integriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Presiden Persatuan Akademik (MPPA) berharap tahap kebebasan akademik dapat dipertingkat walaupun mungkin terdapat sesetengah pendapat baik menerusi kajian atau apa juga saluran berbeza dengan pandangan diberikan oleh pengurusan sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Pengerusinya, Ahmad Faisal Mohamed Fiah berkata, dunia akademik itu unik yang mana segala pandangan kritis dapat dijana dan ia diharap diteruskan hingga generasi berikutnya supaya budaya ilmu tidak hilang dalam kalangan anak-anak muda.

“Kami juga berharap kerjasama jitu dapat dipertingkat sama ada di peringkat IPT mahupun dengan KPT,” katanya dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Akademia.

Tahun ini adalah tahun keempat sambutan Hari Akademia sejak diperkenal dan diwartakan pada 2019 dan disambut pada tarikh 5 Oktober. 

AHMAD FAISAL MOHAMED FIAH

Ahmad Faisal berkata, Hari Akademia bukan sekadar sambutan biasa sepertimana hari-hari lain yang terdapat di negara ini mahupun di peringkat antarabangsa.

Katanya, ia seharusnya menjadi pencetus buat semua warga pendidik dan mahasiswa untuk beriltizam menjadi warga yang benar-benar cemerlang demi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara cemerlang dan terbilang. 

“Sungguhpun saban hari kita didedahkan dengan pelbagai cerita sama ada yang positif mahupun negatif, ia sebaik-baiknya dijadikan pengajaran dan teladan buat semua. 

“Pendidikan adalah asas kepada kejayaan dan kemajuan sesebuah negara apatah lagi negara seperti Malaysia yang mengimpikan untuk menjadi sebuah negara maju dalam masa terdekat,” katanya.

Justeru, ujar beliau, warga pendidik mempunyai tanggungjawab dan amanah yang harus dipikul bagi memastikan hasrat untuk melihat Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju dan berdaya saing dapat dikecapi. 

Beliau mengingatkan supaya warga pendidik supaya tidak lupa tanggungjawab asas mendidik anak bangsa dan bagi membolehkan matlamat tersebut dapat dicapai dalam asyik mencipta pelbagai kejayaan.

“Masyarakat sekeliling pastinya merujuk dan melihat kepada sumbangan yang disalurkan warga pendidik terutama ibu bapa yang mempunyai harapan tinggi melihat anak-anak mereka berjaya serta menjadi warga yang bertanggungjawab dan berguna. 

“Kualiti kerja juga tidak boleh diabaikan ditambah pula dengan pelbagai petunjuk prestasi yang harus dicapai, seseorang pendidik tidak boleh mengabaikannya sama sekali,” tegasnya.

Beliau berkata, MPPA turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga pendidik yang terus cekal mengharungi tugasan seharian selain bekas presiden dan Exco persatuan akademik yang sudah meninggal dunia.

Selain itu, katanya, penghargaan turut ditujukan kepada semua pensyarah di pelbagai peringkat serta datang dari pelbagai institusi serta organisasi yang pernah mencetuskan idea Hari Akademia hingga ia menjadi kenyataan.

“Kepada pihak kerajaan, sekiranya mampu mungkin dapatlah juga disemak skim-skim perkhidmatan yang menjurus kepada warga pendidik supaya profesyen ini kekal berdaya saing serta apa yang lebih penting dapat melahirkan lebih ramai cerdik pandai dan modal insan yang cemerlang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya