Mossad: Rakyat tidak perlu bimbang - PM - Utusan Malaysia

Mossad: Rakyat tidak perlu bimbang – PM

ISMAIL Sabri Yaakob melambai ke arah pengunjung dan peniaga ketika mengadakan lawatan ke gerai-gerai jualan selepas merasmikan Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil yang berlangsung di Dataran Merdeka. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan tahap keselamatan masih dalam tahap terbaik walaupun 11 individu ditahan susulan kes penculikan yang dikaitkan dengan agensi keselamatan Israel, Mossad.

Ismail Sabri berkata, kerajaan akan memastikan tahap keselamatan negara pada tahap yang tertinggi sepanjang masa namun, beliau masih belum menerima laporan lengkap mengenai dakwaan keberadaan ejen Mossad di Malaysia.

“Saya masih belum terima laporan lengkap daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya tidak boleh komen lanjut sehingga laporan lengkap diterima daripada agensi berkaitan dan rakyat tidak perlu bimbang dengan tahap keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia di Dataran Merdeka hari ini.

Sebelum ini terdapat laporan yang mendakwa ejen Mossad sudah memasuki negara ini dalam usaha mengesan dan menculik rakyat Palestin yang mereka percaya sebagai aset Briged Hamas al-Qassam.

Mossad dipercayai merekrut rakyat tempatan untuk membantu rejim Zionis memburu anggota Hamas di Malaysia, termasuk dalam kes penculikan dua lelaki Palestin yang dipercayai aset Briged Hamas al-Qassam di ibu negara, baru-baru ini.

Pada 28 September lalu, suspek memintas dua warga Palestin dalam kejadian pukul 10 malam ketika mangsa mahu memasuki kenderaan diletakkan berhampiran Jalan Yap Kwan Seng, di sini.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, sebarang spekulasi yang timbul boleh mengganggu siasatan dan mengelirukan masyarakat.

Jumaat lalu, 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini di atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya