JOHOR BAHRU: Seorang mekanik maut dihempap sebuah jentolak yang sedang dinaikinya di tapak pelupusan sampah Tanjung Langsat, di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I, Shahrol Suboh berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kejadian itu pada pukul 10.02 pagi dan sembilan anggota beserta dua buah jentera bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, anggota mendapati terdapat seorang mangsa lelaki berusia 51 tahun dihempap sebuah jentolak.
“Difahamkan, mangsa dipanggil ke lokasi untuk membaiki jentolak tersebut yang rosak, namun ketika kerja dilakukan, jentolak itu jatuh dan menghempap mangsa.
“Mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas selain turut dibantu sebuah jengkaut. Mangsa bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mayat mangsa kemudiannya diserah kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamatkan pada pukul 11.27 pagi. – UTUSAN










