MCA, MIC harap anak tempatan jadi calon BN di Sepang - Utusan Malaysia

MCA, MIC harap anak tempatan jadi calon BN di Sepang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Dua parti komponen Barisan Nasional (BN) Bahagian Sepang merayu agar anak tempatan menjadi calon untuk kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perkara tersebut disuarakan sendiri oleh kepimpinan MCA dan MIC demi mengelak timbul perasaan marah dan tindakan sabotaj dalam kalangan ahli-ahli parti itu di kawasan berkenaan.
Ketua MCA Bahagian, Datuk Ng Chok Sing berharap calon diketengahkan ialah warga daerah itu sendiri dan keutamaan diberi kepada UMNO kerana majoriti pengundinya adalah Melayu.
“Antara yang sesuai ialah Ketua UMNO Bahagian, Noorazli Said kerana beliau sudah bekerja keras bagi misi memenangkan BN untuk PRU15,” katanya ketika ditemui lewat malam tadi.
Pada PRU14 lalu, Mohamed Hanipa Maidin dari Parti Amanah Negara (PAN) yang mewakili Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kerusi tersebut dengan memperoleh 46,740 undi.
Bekas ahli Pas itu meraih majoriti 18,705 undi menewaskan calon BN, Datuk Marsum Paing yang menerima 28,035 undi dan juga calon Pas, Sabirin Marsono dengan hanya 15,882 undi.
Terdahulu, Chok Sing yang juga Pengerusi Badan Perhubungan MCA Selangor, menghadiri pelancaran jentera MIC Sepang di markas gerakan parti etnik India itu di Sepang Putra di sini.
Acara berkenaan dirasmikan oleh Noorazli yang merupakan Pengerusi BN Sepang dan turut disertai Ketua MIC Bahagian Sepang, Datuk V. Gunalan serta petugas blok siasah tersebut.
Turut menyuarakan nada sama ialah Gunalan sendiri yang berkata, MIC sudah lebih empat tahun bertungkus lumus untuk menawan kembali kerusi tersebut yang tewas kepada pihak PH.
Menurutnya, UMNO Sepang memiliki calon berwibawa untuk diletakkan sebagai wakil BN dan khuatir tindakan meletakkan orang luar menyebabkan ada pihak lain mengambil kesempatan.
Situasi di Sepang jelas beliau, bukan seperti Kuala Selangor yang mudah memberi laluan kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk dapat bertanding.
“Kami berpendapat senario politik di sini tidak sama dan kurang sesuai untuk dilaksanakan eksperimen sedemikian kerana keadaan PRU15 adalah berbeza daripada PRU14,” katanya.
Kerusi Parlimen itu antara tumpuan PRU kali ini dengan Ketua Srikandi Bersatu Sepang, Datuk Seri Rina Mohd. Harun dilaporkan bakal dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya