MB Terengganu tidak bertanding kerusi Parlimen - Utusan Malaysia

MB Terengganu tidak bertanding kerusi Parlimen

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar memberi bayangan tidak akan bertanding di kerusi Parlimen di negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, setakat ini, nama beliau tidak ada dalam senarai antara bakal calon di lapan kerusi Parlimen di negeri ini.

Malah katanya, beliau juga tiada keperluan bertanding di kerusi Parlimen.

Bagaimanapun beliau menyerahkan keputusan berhubung kedudukannya dalam PRU15  kepada kepimpinan parti.

“Setakat ini, alhamdulillah saya tak tanding Parlimen. Kenapa saya perlu pergi (tanding) Parlimen?” Soalnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Kampus Tetap Kolej al-Quran Terengganu (KQT) dan Bandar Baharu Lestari Durian Mentangau di sini hari ini.

Sebelum ini, tular poster memaparkan lapan individu yang dikatakan calon Parlimen bagi Perikatan Nasional (PN) di Terengganu.

Poster itu memaparkan enam pemimpin Pas iaitu Ahmad Samsuri bertanding di Parlimen Kuala Nerus; Khalil Abdul Hadi (Marang); Datuk Fariz Mustafa Ali (Dungun); Hanafiah Mat (Kemaman); Datuk Ahmad Amzad Hashim (Kuala Terengganu) dan Zabidi Yusof (Besut).

Dua lagi calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Datuk Razali Idris (Setiu).

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri memberitahu, PN dijangka mengumumkan senarai calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen pada Ahad ini.

“Negeri-negeri diminta mengadakan pengumuman pada 30 Oktober ini tetapi di Terengganu, ia akan diumumkan pada 3 November ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya