KUALA LUMPUR: Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-62 (MTHQA62) bagi kategori wanita dimenangi peserta Malaysia iaitu Sofizah Mousin dengan meraih markah 89.66 peratus.
Bagi kategori lelaki pula dimenangi peserta dari Bahrain, Mohamed Sameer Mohamed Magahed (93.33 peratus) diikuti peserta Malaysia, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan (88.83 peratus).
Juara bagi kedua-dua kategori membawa pulang hadiah berupa piala, sijil penghargaan dan wang tunai, bagi tempat kedua serta ketiga turut membawa pulang hadiah sama.
Penyampaian hadiah kepada pemenang tempat pertama hingga kelima daripada dua kategori tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Yang hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd. Yusoff.
MTHQA62 disertai 36 peserta melibatkan 28 buah negara dan dihakimi oleh 16 hakim iaitu pakar-pakar dalam bidang al-Quran dari dalam dan luar negara.
Majlis tersebut berlangsung selama enam hari iaitu daripada 19 Oktober lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). – UTUSAN