PUTRAJAYA: Situasi Malaysia pada ketika ini tidak berada dalam keadaan krisis kewangan atau ekonomi seperti mana pada 1998, 2009 dan terkini 2020.
Menegaskan perkara itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, di waktu itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masing-masing menyusut sebanyak -7.4 peratus (1998), -1.5 peratus (2009) dan -5.5 peratus (2020).
Sedangkan pada tahun ini, kata beliau, kerajaan yakin KDNK akan terus tumbuh lebih baik berbanding unjuran asal 5.3 peratus hingga 6.3 peratus.
Keyakinan sama turut dikongsi Bank Dunia yang menaikkan unjuran KDNK Malaysia tahun ini dari 5.5 peratus kepada 6.4 peratus, jelasnya.
“Langkah-langkah proaktif kerajaan seperti peruntukan subsidi hampir RM80 bilion termasuklah kawalan harga bagi pelbagai barangan asas akan terus melindungi rakyat daripada impak kenaikan harga yang didorong faktor luaran yang di luar kawalan kerajaan.
“Sejak pandemik bermula, kerajaan giat melaksanakan pembaharuan struktur bagi memastikan pembangunan lebih seimbang, lestari dan saksama, seperti penambahbaikan jaringan keselamatan sosial, menangani isu pengangguran dalam kalangan belia, memastikan sekuriti makanan dan nutrisi, serta memudahcara pelbagai sektor ekonomi untuk beralih ke arah digitalisasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Tengku Zafrul, kerajaan akan meneruskan projek-projek mesra rakyat dengan nilai pengganda yang tinggi seperti penambahbaikan perumahan rakyat, tebatan banjir, infrastruktur sumber air, elektrik, internet dan 5G, serta pengangkutan awam seperti MRT3 dan Lebuhraya Pan Borneo.
Katanya, usaha menangani impak ketidaktentuan ekonomi dunia memerlukan kerjasama antara semua pihak, tidak kira sama ada antara negara, ahli politik, akar umbi, golongan profesional mahupun penjawat awam.
Jelas beliau, penggubal dasar perlu menyedari hakikat bahawa dalam dunia yang saling terkait, keputusan sesetengah negara mampu memberi impak besar kepada negara lain.
“Dalam mendepani cengkaman inflasi yang melanda dunia, keputusan dasar monetari oleh beberapa kuasa besar menjejaskan kedudukan negara-negara membangun, dan Malaysia tidak terkecuali daripada kesan tersebut.
“Saya percaya kerjasama dan penyelarasan monetari antara negara perlu dipertingkatkan, bagi mencapai matlamat kesejahteraan ekonomi yang lebih adil untuk semua,” katanya.
Beliau berkata, penubuhan Mekanisme Kerjasama Monetari Antarabangsa perlu dipertimbang untuk memastikan sistem kewangan lebih efektif, saksama, serta mampu mengimbangi keperluan pembangunan sejagat.
Katanya, salah satu contoh kerjasama yang pernah dilaksanakan di peringkat dunia untuk menangani ketidak tentuan pasaran mata wang antarabangsa adalah Perjanjian Plaza, atau Plaza Accord pada tahun 1985 yang bertujuan menyusutkan nilai dolar AS terhadap yen Jepun dan mark Jerman, melalui campur tangan di pasaran mata wang antarabangsa.
Ini disusuli Perjanjian Louvre pada tahun 1987 yang bertujuan menstabilkan pasaran mata wang antarabangsa, dan menghentikan penurunan berterusan Dolar AS berikutan Plaza Accord.
“Kerjasama lain yang pernah dilaksanakan di peringkat dunia adalah semasa Krisis Kewangan Global tahun 2008 di mana bank pusat di negara-negara maju bekerjasama untuk mengelak krisis kewangan dari merebak ke serata dunia.
“Institusi multilateral seperti IMF, Bank Dunia, Bank Penyelesaian Antarabangsa (BIS) dan Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa (IOSCO) juga perlu lebih proaktif dalam membantu negara membangun seperti Malaysia dan lain-lain di rantau ini,” katanya.
Pada masa sama, Tengku Zafrul berkata, negara kuasa besar dunia perlu menggalas tanggungjawab dengan apa-apa keputusan dasar mereka.
Beliau memberi jaminan perkara itu akan disuarakan pada Mesyuarat Musim Luruh Bank Dunia dan IMF yang akan bersidang pada pertengahan bulan ini. – UTUSAN