ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan menguruskan lebihan air melalui lima infrastruktur utama sedia ada agensi itu jika ramalan cuaca yang mengakibatkan banjir melanda kawasan tanaman di negeri ini dan Perlis.
Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, infrastruktur utama itu antaranya melibatkan Sistem Arau, Sistem Lanabulu, Sistem Alor Changileh, Pelubang Barrage dan Tandop Pasang Surut Ampang Jajar.
Katanya, ramalan menunjukkan Perlis akan menerima taburan hujan pada paras purata antara 200 hingga 300 milimeter (mm), manakala Kedah sekitar 290 hingga 440mm pada September tahun ini hingga Februari 2023.
“Oleh itu, MADA telah mengaktifkan Pelan Persediaan Banjir Kawasan Muda dan berada dalam keadaan siap sedia yang tinggi bagi menghadapi fenomena La Nina yang dijangka berlaku hujung tahun ini.
“Dalam menghadapi kemungkinan banjir, MADA sentiasa mengutamakan kepentingan awam serta penanaman padi dan menguruskan lebihan air akibat hujan mengikut Tatacara Pengendalian Piawai yang ditetapkan,” katanya di sini, semalam.
Katanya, MADA juga telah bersedia memastikan infrastruktur pengairan dan saliran berfungsi dengan sempurna serta memastikan alat kelengkapan dan aset-aset seperti bot dan jentera dalam keadaan baik.
Menurut Ahmad Tarmizi, kawasan Muda berkemungkinan menerima hujan lebat di kawasan tadahan empangan, tadahan sungai dan kawasan sawah.
“Ia akan menyebabkan penambahan takungan air di empangan, peningkatan aliran sungai dan kenaikan kedalaman air di kawasan sawah. Namun, MADA sentiasa peka dengan cuaca semasa dan berada dalam keadaan siap sedia jika berlakunya banjir seperti mana amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Melalui perancangan dan persediaan bagi menghadapi banjir ini, adalah diharapkan kerosakan kepada harta awam dan padi dapat diminimumkan dan kesulitan kepada peladang dapat dikurangkan sekiranya banjir melanda kawasan MADA nanti,” katanya.
Tambah beliau, kedudukan paras takungan air di Empangan MADA berada dalam keadaan mencukupi iaitu di Empangan Pedu pada kadar 859,625 juta meter padu atau 98.27 peratus, Empangan Muda 123,950 juta meter padu (99.16%) dan Empangan Ahning sebanyak 186,979 juta meter padu (83.85%).
“Oleh itu para peladang di kawasan Muda digalakkan menghubungi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) berdekatan jika ada pertanyaan mengenai maklumat aduan kerana kami sentiasa bersedia membantu para peladang menjayakan aktiviti penanaman padi di kawasan ini,” katanya. – UTUSAN










