KUALA LUMPUR: Seorang penyelia tapak pembinaan didakwa di mahkamah majistret berasingan di sini, hari ini atas dua pertuduhan menculik dan membunuh teman wanitanya, bulan lalu.
Selepas kedua- dua pertuduhan dibacakan terhadap Lai Jai Loon, 27, di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli dan Majistret Syahrul Sazly Md. Sain, dia hanya mengangguk faham namun tiada pengakuan direkodkan daripadanya kerana di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.
Ketika di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus, tertuduh didakwa mencapai niat bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM40,000 dan menahan seorang wanita yang dikenali sebagai Ho Mei Ling, 27, dengan melarikannya secara salah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan hadapan sebuah rumah, di Jalan Kenari 1, Taman Kenari Lenggeng, Negeri Sembilan pukul 3.50 petang pada 25 September 2022.
Pertuduhan itu dikemukakan dibawah Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di hadapan Majistret Syahrul Sazly, Jai Loon didakwa membunuh hingga menyebabkan kematian terhadap wanita sama di tepi jalan Bukit Tekali, Hulu Langat dekat sni pukul 3.50 petang antara 25 September hingga 27 September lalu.
Bagi pertuduhan bunuh itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Afiqah Abdul Ghaffar dan Nurul Husna Amran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Kedua-dua mahkamah menetapkan 17 November ini bagi sebutan semula kes.
Hujung bulan lalu, media melaporkan mayat wanita dipercayai menjadi mangsa culik ditemukan dalam gaung di Bukit Tekali, Hulu Langat, Selangor pada 27 September lepas. Polis mendapati mangsa adalh kes culik yang sedang disiasat berdasarkan kad pengenalan dan dokumen ditemukan bersamanya serta pengecaman ahli keluarga.
Siasatan awal polis mendapati mangsa dan lelaki itu dipercayai pasangan kekasih yang berkenalan melalui laman sosial sejak awal tahun ini dan motif pembunuhan disyaki ada kaitan dengan hutang. – UTUSAN