Lebih 15 jam jatuh laut, tong plastik penyelamat nyawa nelayan

Lebih 15 jam jatuh laut, tong plastik penyelamat nyawa nelayan

SEORANG kru bot nelayan ditemukan dalam keadaan selamat apabila berpaut pada tong plastik selepas dilaporkan terjatuh ke dalam laut semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Seorang kru bot nelayan ditemukan dalam keadaan selamat dengan menjadikan tong plastik untuk berpaut lebih 15 jam selepas dilaporkan hilang akibat terjatuh ke dalam laut di perairan Pulau Sibu, dekat sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, pihaknya menerima aduan daripada Pejabat Polis Daerah Mersing yang dibuat oleh pemilik bot nelayan terbabit tentang perkara itu sebelum menyalurkan maklumat ke Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru dan Op Carilamat diaktifkan mulai pukul 11.50 malam.

“Maklumat awal kejadian, mangsa, Catur, 40, warga Indonesia, kali terakhir dilihat di atas bot nelayan tempatan itu hanya memakai seluar hijau sebelum jatuh ke laut di kedudukan 5.3 batu nautika Pulau Sibu Hujung, Mersing kira-kira pukul 8 malam.

“Mangsa kemudian ditemukan oleh bot Perikanan PL 87 yang turut serta dalam Op Carilamat dalam keadaan selamat dan sedang berpaut pada tong minyak plastik berwarna biru.

“Lelaki itu ditemukan di kedudukan lebih kurang 10 batu nautika selatan Pulau Sibu kira-kira pukul 10.30 pagi ini. Mangsa seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Tanjung Sedeli untuk rawatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul Nizam berkata, mangsa dipercayai jatuh dan hanyut sejauh 9.3 batu nautika dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh.

Op Carilamat melibatkan sebuah bot Kilat 14 dari Zon Maritim Mersing, bot RH 32 daripada Pasukan Polis Marin (PPM), bot PTL 21 dan PL 87 milik Jabatan Perikanan serta melibatkan 30 anggota di kawasan seluas 86 batu nautika persegi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.