BUKIT MERTAJAM: Luar biasa. Dalam tempoh kurang tiga hari, dana berjumlah RM105,000 yang diperlukan oleh dua kanak-kanak bagi membolehkan mereka menjalani pembedahan jantung berjaya dikutip.
Ternyata, inisiatif oleh pertubuhan kebajikan, One Hope Charity and Welfare melancarkan kutipan dana awam bagi tujuan itu mendapat sambutan baik daripada rata-rata rakyat negara ini yang bersimpati dengan nasib yang menimpa Celine Olivia Yus Miboy dan Siti Zahrah Umairah Umar Zuhdi Arwani, masing-masing berusia satu dan dua tahun.
One Hope Charity and Welfare dalam satu kenyataan memberitahu, sebanyak RM105,379.74 berjaya dikumpul dalam tempoh itu hasil sumbangan kira-kira 967 penderma sejak dana kutipan awam itu dilancarkan pada 23 September lalu.
Katanya, ibu bapa kepada dua kanak-kanak perempuan itu amat bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan serta kepercayaan yang diberikan oleh orang ramai untuk mengumpul dana berkenaan.
“Kejayaan ini (mengumpulkan dana dalam tempoh yang singkat) pastinya membolehkan mereka (Celine Olivia dan Siti Zahrah Umairah) menjalani pembedahan seperti yang dijadualkan sekali gus berpeluang meneruskan kehidupan masing-masing seperti biasa selepas ini,” katanya.
Selasa lalu Utusan Malaysia melaporkan kisah derita yang ditanggung dua kanak-kanak terbabit gara-gara masalah jantung yang dihadapi sejak kecil.
Disebabkan gagal mengumpul dana yang diperlukan untuk menanggung kos pembedahan itu, keluarga mereka kemudian bersetuju untuk melantik One Hope Charity and Welfare sebagai pengendali untuk melancarkan satu kutipan dana awam bagi tujuan berkenaan.
Dalam pada itu, Celine Olivia yang mengalami masalah kecacatan jantung dijangka menjalani pembedahan dalam masa beberapa hari lagi manakala Siti Zahrah Umairah yang didiagnosis menghadapi masalah jantung berlubang pula menjalani prosedur yang sama hari ini.- UTUSAN