Kronologi kes Syed Saddiq

Kronologi kes Syed Saddiq

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERIKUT adalah kronologi kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman:

22 Julai 2021
Syed Saddiq didakwa atas dua pertuduhan iaitu bersubahat untuk melakukan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

5 Ogos 2021
Syed Saddiq didakwa lagi atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM100,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dan hakim membenarkan kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.

23 Ogos 2021
Syed Saddiq memohon empat pertuduhan yang dihadapinya itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

25 November 2021
Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan itu.

19 Januari 2022
Hakim Mohamed Zaini menasihati Syed Saddiq supaya lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan di media sosial berhubung kesnya.

24 Mac 2022
Pendakwaan kemuka dua pertuduhan pindaan berhubung kes pecah amanah dan menyalahgunakan wang milik Armada yang dihadapi Syed Saddiq dan beliau mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan itu.

21 Jun 2022
Ibu bapa Syed Saddiq iaitu Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz, 62 serta Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff, 69, memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan kes ini di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid.

4 Julai 2022
Azhar mengingatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang kenyataan berhubung kes itu.

7 Julai 2022
Pihak pembelaan memohon mencabar kredibiliti saksi pendakwaan ke-13 (SP-13), bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia Rafiq Hakim Razali, berikutan percanggahan dalam pernyataan saksi dan keterangan lisannya di mahkamah.

8 Julai 2022
Syed Saddiq memohon maaf kepada mahkamah kerana berkongsi semula satu hantaran di laman media sosialnya berhubung perbicaraan kesnya itu.

18 Julai 2022
Mahkamah Tinggi menolak permohonan Syed Saddiq untuk mencabar kredibiliti Rafiq Hakim.

21 Julai 2022
Mahkamah mengingatkan orang awam supaya tidak melampaui batas dalam membuat sebarang kenyataan di media sosial berhubung kes itu.

22 Julai 2022
Syed Saddiq sekali lagi memohon untuk mencabar kredibiliti saksi (Rafiq Hakim) susulan terdapat beberapa percanggahan dalam keterangan yang direkod oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan keterangan lisannya di mahkamah.

25 Julai 2022
Azhar mengarahkan pendakwaan menyerahkan salinan percakapan Rafiq Hakim yang dirakam SPRM kepada mahkamah untuk penelitian.

22 Ogos 2022
Mahkamah Tinggi menolak permohonan pihak pembelaan bagi mencabar kredibiliti saksi itu.

23 Ogos 2022
Mahkamah Tinggi menolak permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan salinan rakaman percakapan Rafiq Hakim.

27 September 2022
Pihak pendakwaan menutup kes itu selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan.

6 Oktober 2022
Pihak pendakwaan dan pembelaan berhujah berhubung empat pertuduhan yang dihadapi Syed Saddiq.

UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya