Konsert Exists Reunion kembali, Singapura dipilih lokasi pertama - Utusan Malaysia

Konsert Exists Reunion kembali, Singapura dipilih lokasi pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga tahun lalu, penyatuan semula Exists menerusi Konsert Exists Reunion di dua lokasi, Stadium Malawati, Shah Alam dan The Theatre at Mediacorp, Singapura begitu membekas di hati peminat.

Konsert itu meninggalkan kesan yang bukan sedikit, terutama buat peminat di Singapura apabila tiket habis terjual dalam masa dua hari.

Kemunculan Mamat, Ezad, Ajai, Along, Musa, Shah dan Ujang menghadiahkan memori yang begitu indah buat peminat tegar kumpulan kumpulan yang ditubuhkan di Johor Bahru pada 1991.

Mengulangi memori itu, sekali gus mengubati kerinduan peminat, Exists akan sekali lagi digandingkan di Singapura dalam konsert Exists Reunion di The Theatre at Mediacorp pada 14 Januari 2023.

Ajai mewakili rakan-rakannya berkata, mereka begitu teruja untuk kembali bertemu mata dan berkongsi tenaga menyanyi bersama-sama peminat pada tahun hadapan.

“Kami sentiasa teruja dan menghargai sokongan yang diberikan peminat di Singapura. Ketika kali pertama muncul di Singapura atas nama Konsert Exists Reunion, sambutan yang diberikan sangat membuatkan kami terharu.

“Kami ingin kembali untuk sama-sama membina momen indah dengan peminat yang tidak putus-putus menyokong perjalanan karier,” ujar Ajai.

Sementara itu, Pengarah Urusan Shiraz Projects, Shirazdeen Karim berkata, menyaksikan penonton menyanyi bersama-sama di Konsert Exists Reunion pada 2019 adalah antara kenangan terindah yang masih terpahat di ingatan mereka.

“Justeru, kami bawakan konsert ini kembali kerana mengerti kerinduan peminat yang sudah lama menunggu kehadiran Exists Reunion usai pandemik melanda dunia,” katanya.

Tambahnya lagi, Shiraz Projects sering mendapat pertanyaan bila Exists Reunion akan kembali ke Kota Singa untuk menyemai momen indah bersama peminat dengan lagu malar segar mereka.

“Memahami kerinduan itu, kami bawakan Exists Reunion ke The Theatre at Mediacorp sebagai lokasi pertama dalam rangkaian siri jelajah pada 2023.

“Lokasi yang seterusnya akan diumumkan kelak. Buat masa sekarang, kami ingin memberikan berita baik ini kepada peminat di Singapura dahulu,” tambah Shiraz.

Untuk keterangan lanjut dan tempahan tiket, layari www.myticket.asia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya