PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dicadangkan menggubal akta pembangunan tanaman bernilai tinggi demi menjaga kepentingan produk berkenaan.
Perkara itu disuarakan pensyarah kanan Fakulti Industri Agro dan Sumber Asli dari Universiti Malaysia Kelantan, Prof. Madya Dr. Fatimah Kayat kerana polisi sedemikian memang perlu memandangkan negara tidak ada dasar jelas yang boleh membantu usahawan memajukan komoditi pertanian.
Beliau yang juga pakar sains agrikultur berkata, Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 dilihat sebagai tidak cukup bagi memperkasakan komoditi bernilai tinggi menyebabkan pemain industri tanaman tersebut kurang meraih perhatian kerajaan sedangkan produk dituai mereka memberi pulangan besar kepada ekonomi negara.
“Pengusaha bidang ini pula berdepan banyak isu terutama pembiayaan dan peluang pasaran sehingga mengakibatkan Malaysia kerugian besar apabila dipintas negara lain,” katanya ketika membentangkan kajian bertajuk ‘Impak Covid-19: Ukuran Mitigasi Kecemasan Malaysia ke atas Tanaman Bernilai Tinggi’, di sini hari ini.
Ia merupakan antara sesi selari Pemerkasaan Ekosistem Ekonomi Lestari bertemakan Sekuriti Makanan pada Seminar Kebangsaan: Pemulihan Ekonomi dan Keterangkuman Sosial anjuran Institut Masa Depan Malaysia dan Majlis Pemulihan Negara dengan pembentangan daripada 12 penyelidik geran Program Pembangunan Dasar Masa.
Dasar baharu yang dicadangkan itu bukan sahaja menjamin sekuriti makanan domestik terpelihara, malah jelasnya, menarik minat belia menceburi bidang pertanian berskala besar.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Sylvia @ Nabila Azwa Ambad dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Sabah pula mendedahkan situasi ancaman risiko pertanian di negeri tersebut, antaranya rancangan pemindahan ibu negara baharu Indonesia ke Nusantara di Kalimantan dijangka menyebabkan bidang pertanian di Sabah bakal berdepan kekurangan tenaga kerja.
Situasi itu susulan kebergantungan tinggi kepada buruh dari republik tersebut akan merosot apabila mereka kembali ke Indonesia yang menawarkan peluang baik dalam pelbagai sektor.
Pada masa yang sama, beliau mengakui teknologi pertanian di Sabah sebagai 15 tahun di belakang Semenanjung Malaysia dan negeri itu amat mengharapkan banyak input bantuan.
“Masalah terbesar ialah tiada koordinasi antara pelbagai agensi kerajaan dan birokrasi yang rumit mengakibatkan generasi beliau tidak minat bidang pertanian kerana sukar,” katanya yang membentangkan kajian Dasar Usahawan Agro Muda dan Kelestarian Makanan ke arah Pengurangan Kemiskinan.
Beliau berkata, senario itu berbahaya dari segi jangka panjang, sedangkan Sabah memiliki tanah subur untuk pertanian tetapi peluang itu tidak dimanfaatkan sebaik mungkin bagi menjana pendapatan keluarga. – UTUSAN