Kerajaan bantah saman pemula Charles Santiago

Kerajaan bantah saman pemula Charles Santiago

CHARLES SANTIAGO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dan dua yang lain memohon Mahkamah Tinggi di sini membatalkan saman pemula penyandang kerusi Parlimen Klang, Charles Santiago berhubung pembubaran Parlimen.

Peguam Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang juga bekas Presiden Mahkamah Rayuan berhujah, saman pemula itu sewajarnya dibatalkan ekoran pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan tarikh pengundian pada 19 November ini.

Sehubungan itu, hujah beliau, saman pemula itu kini akademik kerana SPR juga telah menetapkan tarikh penamaan calon pada 5 November ini.

Beliau berhujah mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan dua pihak lagi memohon membatalkan saman pemula yang dikemukakan oleh Charles berhubung pembubaran Parlimen.

Selain Perdana Menteri, Kerajaan Malaysia dan SPR turut dinamakan sebagai defendan-defendan dalam saman pemula itu.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid menetapkan 28 Oktober ini bagi keputusan tersebut.

SPR pada sidang media hari ini menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serentak dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) N66 Bugaya.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut mengumumkan 15 November sebagai tarikh pengundian awal manakala 14 hari diperuntukkan untuk tempoh berkempen.

Dalam hujahan itu, Zulkefli menyatakan, kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam mengisytiharkan pembubaran Parlimen tidak boleh diadili (non justiciable) dan tidak boleh dipertikai di mahkamah.

Hujah beliau, Seri Paduka mempunyai kuasa istimewa di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan untuk memperkenankan permintaan pembubaran Parlimen.

Zulkefli berhujah, Parlimen telah dibubarkan pada 10 Oktober lalu dan diwartakan menyebabkan permohonan saman pemula penyandang kerusi Parlimen Klang itu kini akademik.

“Pengisytiharan dan pembubaran Parlimen merupakan kuasa YDPA di bawah Perlembagaan Persekutuan yang mana yang mana badan kehakiman selaku penjaga kepada keadilan (guardian of justice) perlu memelihara prinsip keperlembagaan ini,” ujar beliau.

Dalam hujahnya, Zulkefli turut menyatakan, isu-isu berkaitan banjir musim tengkujuh yang dibangkitkan dalam saman pemula itu tidak relevan dengan kuasa YDPA memperkenan pembubaran Parlimen.

Ismail Sabri dalam afidavit sokongan yang diikrarkannya menyatakan, YDPA menjalankan kuasa prerogatif secara bijaksana ketika menzahirkan harapan bahawa PRU15 perlu diadakan dalam tempoh terdekat sebelum Monsun Timur Laut yang diramal bermula pada pertengahan November ini.

Hujah Zulkefli, tindakan saman pemula itu merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah dan cubaan menghalang tugas defendan ketiga (SPR) menjalankan tugas-tugasnya berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang pilihan raya.

Zulkefli selanjutnya menghujahkan, defendan ketiga tertakluk kepada tugas keperlembagaan menurut Perkara 55(4) dan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan yang mana PRU15 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran.

Dalam pada itu, peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun turut berhujah bahawa keseluruhan proses pembubaran Parlimen berakhir sebaik sahaja dokumen pembubaran diwartakan dan kenyataan mengenainya dikeluarkan oleh Istana Negara pada hari yang sama (10 Oktober).

Sementara itu, peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Charles berhujah, permohonan anak guamnya bukan akademik kerana pilihan raya umum masih belum dilaksanakan.

Hujah beliau, SPR baru sahaja mengumumkan tarikh pengundian dan penamaan calon hari ini dan belum lagi mengemukakan pelan bagaimana pilihan raya umum akan diadakan.

Pada 11 Oktober lalu, penyandang Parlimen Klang itu selaku plaintif menfailkan saman pemula terhadap Ismail Sabri dan dua yang lain susulan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.

Berdasarkan dokumen, plaintif memohon deklarasi bahawa permintaan Ismail Sabri kepada YDPA pada 9 Oktober lalu untuk pembubaran Parlimen ke-14 adalah menyalahi Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana katanya, permintaan itu tidak dibuat berdasarkan nasihat atau kuasa am Jemaah Menteri dan menjadikannya terbatal serta tidak sah.

Bagaimanapun pada 14 Oktober lalu, Ismail Sabri dan dua yang lain memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula tersebut atas alasan bahawa ia tidak mendedahkan kausa tindakan mahu pun kausa tindakan yang munasabah ke atas mereka.

Ia kerana isu keabsahan permintaan pembubaran Parlimen ke-14 oleh defendan pertama kepada YDPA pada 9 Oktober lalu adalah bersifat akademik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN