Keputusan permohonan Tommy batal saman Najib 25 November ini - Utusan Malaysia

Keputusan permohonan Tommy batal saman Najib 25 November ini

KENDERAAN yang membawa Najib Tun Razak tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi mengikuti pendengaran permohonan Tommy Thomas untuk membatalkan saman RM1.9 juta difailkan Najib di Mahkamah Tinggi. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 25 November ini bagi tarikh keputusan permohonan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk membatalkan saman RM1.9 juta oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dalam beberapa kes pendakwaannya secara salah termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache menetapkan tarikh tersebut selepas selesai hujahan lisan daripada kedua-dua pihak tanpa melalui proses perbicaraan penuh.

Bagaimanapun Hakim Ahmad memberi peluang kepada Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Najib untuk berhujah selama 15 minit pada hari berkenaan kerana beliau tidak dapat hadir ke mahkamah akibat dijangkiti Covid-19 dan kini berada di Kota Kinabalu, Sabah.

Tommy diwakili peguam Alan Adrian Gomez manakala Najib diwakili peguam Yudistra Darma Dorai.

Pada 22 Oktober 2021, Najib menfailkan saman mendakwa bahawa beliau telah dituduh secara salah di mahkamah dalam kes 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Beliau mendakwa, pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Tommy dan selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Beliau memohon pengisytiharan bahawa Tommy telah melakukan penyelewengan dalam jawatan awam serta ganti rugi RM1.9 juta, termasuk yuran rundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta bagi menangani pendakwaan terhadapnya.

Pada 4 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Najib hadir ke perbicaraan berkaitan saman sivil RM1.9 juta terhadap Tommy yang berjalan hari ini dengan alasan beliau selaku plaintif mempunyai hak untuk mendengar kes sivilnya.

Pada 9 September lalu, Najib menarik balik samannya terhadap Kerajaan Malaysia berhubung dakwaan secara salah yang mendakwanya dalam beberapa kes jenayah termasuk kesalahan penyelewengan dana 1MDB.

Bagaimanapun, tuntutan saman sama yang difailkan terhadap Tommy kerana menyalahgunakan kuasa dengan mendakwanya secara salah masih lagi diteruskan, menjadikan Tommy adalah defendan tunggal dalam kes saman berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN