KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 28 Oktober ini bagi memutuskan sama ada seorang pengundi di Parlimen Pandan dibenar memulakan semakan kehakiman bagi menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Syed Iskandar Syed Jaafar dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili pihak kerajaan.
Syed Iskandar menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.
Terdahulu, Shamsul berhujah, Syed Iskandar tidak mempunyai hak di sisi undang-undang (locus standi) untuk memulakan semakan kehakiman bertujuan mencabar keputusan SPR mengadakan pilihan raya.
Hujah beliau, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang memberi perkenan pembubaran Parlimen, tidak boleh dicabar melalui tindakan undang-undang melainkan mahkamah khas ditubuhkan.
“YDPA adalah pembuat keputusan sebenar dan Baginda tidak boleh dicabar atau dipertikai di mahkamah melalui tindakan undang-undang,” hujah Shamsul.
Beliau turut menghujahkan, hak Syed Iskandar selaku pengundi tidak terkesan atau dinafikan kerana beliau masih berpeluang menunaikan tanggungjawabnya selepas Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU.
Hujah Shamsul, plaintif menyatakan beliau pengundi kawasan Parlimen Pandan, namun tidak memperincikan bagaimana haknya untuk mengundi dinafikan.
Sehubungan itu, beliau memohon permohonan kebenaran semakan kehakiman itu ditolak kerana plaintif gagal menunjukkan haknya di sisi undang-undang untuk memulakan tindakan itu.
SPR pada sidang media hari ini menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serentak dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) N66 Bugaya.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut mengumumkan 15 November ini sebagai tarikh pengundian awal manakala 14 hari diperuntukkan untuk tempoh berkempen.
Sementara itu, Sri Ram menghujahkan, Perdana Menteri merupakan pembuat keputusan sebenar kerana beliau yang `memulakan langkah’ memohon YDPA membubarkan Parlimen.
“Apa yang kami cabar adalah tindakan Perdana Menteri yang mencetuskan pembubaran Parlimen, bukan keputusan YDPA.
“Beliau tidak sepatutnya memasuki kereta dan menghadap Seri Paduka serta memohon pembubaran Parlimen,” hujah Sri Ram.
Dalam afidavit sokongannya, pengundi berusia 55 tahun itu berkata Ismail Sabri wajib bertindak secara munasabah demi kepentingan rakyat dan pengundi apabila menghadap Agong pada 9 Oktober lalu bagi memohon pembubaran Parlimen.
Syed Iskandar mendakwa, Ismail Sabri menyalahgunakan kuasa kerana gagal mengambil kira kepentingan dan kebajikan rakyat miskin yang akan terjejas oleh musim tengkujuh jika PRU diadakan.
Menurut Syed Iskandar, Perdana Menteri mengambil kira pertimbangan-pertimbangan politik dan bukannya menimbang kemudaratan yang akan dialami oleh orang ramai yang mengundi ketika itu.
Sehubungan itu, beliau mahukan deklarasi bahawa permohonan kepada Seri Paduka pada 9 Oktober lalu, adalah terbatal dan tidak berkuat kuasa.
Syed Iskandar berkata, Ismail Sabri silap apabila bergantung kepada Perkara 40(2)(b) dan 55(2) Perlembagaan Persekutuan untuk menamatkan penggal Dewan Rakyat.
Beliau mahukan writ larangan yang menghalang SPR, penjawat atau ejennya daripada mengambil langkah menjalankan PRU15. – UTUSAN