PETALING JAYA: Pas didakwa tidak mengambil pandangan dan suara akar ahli di peringkat akar umbi selepas memuktamadkan pendirian untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) .
Bekas Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sidek mendakwa, pendirian yang diputuskan parti itu berhubung kerjasama dengan UMNO hanya dibuat di peringkat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat tanpa mendapatkan info di peringkat Pas kawasan.
Beliau yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Jasin mendakwa, keputusan yang ditetapkan Pas itu tidak mendengar lebih awal respon daripada akar umbi.
“Secara peribadi sebagai ahli di bawah, Pas sepatutnya buat pertemuan atau perjumpaan dengan Yang Dipertua Pas Kawasan untuk dapatkan info di peringkat akar umbi, tetapi pas kali ini amalkan sistem keputusan hanya di peringkat jawatankuasa pusat sahaja.
“(Jadi), keputusan Pas tidak mendengar lebih awal respon daripada akar umbi yang diwakili Yang Dipertua Pas Kawasan di seluruh negara.
“Kita boleh lihat UMNO banyak panggil Ketua Bahagian, maka di situ boleh buat keputusan konkrit dan boleh buat keputusan dianggap matang.
“Tetapi dalam konteks ini, kita di peringkat kawasan dan Parlimen tidak ada (dipanggil untuk memberi maklumat) yang membawa kepada keputusan peringkat Pas Pusat. Bagaimanapun, kita ahli Pas tetap akur dengan segala ketetapan,” dakwanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Kelmarin, media melaporkan, mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat menetapkan pendirian untuk memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi PRU15.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat atas prinsip penyatuan ummah.
Mengulas lanjut, Kamarudin mendakwa, rata-rata ahli Pas kini dalam dilema sama ada mahu ‘menyerang’ UMNO atau sebaliknya pada PRU15 kali ini.
Dakwanya, ini kerana Pas masih belum memuktamadkan kerjasama parti itu menerusi Mufakat Nasional (MN) sekali gus menyukarkan ahlinya terutamanya calon parti itu dalam pilihan raya umum nanti.
“Ahli dan calon Pas bertanding atas tiket PN, tetapi dalam sama MN tidak diputuskan, makanya ia masih berjalan. Jadi mahu ‘serang’ UMNO tak boleh sebab nak kekalkan penyatuan ummah (MN), jadi berlawan dalam serba tidak kena.
“Pas pun tak isytiharkan UMNO musuh politik, tetapi dalam pilihan raya umum akan bertembung. Ini dilema ahli-ahli atau calon dalam berhadapan dan menyerang dalam pentas ceramah.
“Pas perlu buat keputusan supaya senang ahli di bawah buat kerja. (Bukannya) buat keputusan perkukuh PN, tetapi MN tiada kepastian,” dakwanya. –UTUSAN