KUALA TERENGGANU: Keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri bawah pimpinan Pas akan disahkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas di Kuala Lumpur, hari ini.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Pas telah berulang kali menegaskan tentang ketidaksesuaian untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan ketika negara bakal menghadapi suasana banjir yang kini bukan sahaja berlaku di Pantai Timur.
Beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, rakyat boleh membuat berbagai-bagai andaian tentang tujuan dan kehendak pembubaran yang dipaksakan ini walaupun tinjauan awam menunjukkan lebih dua pertiga rakyat tidak bersetuju untuk PRU15 diadakan pada ketika ini.
“Memaksa pilihan raya diadakan pada saat rakyat menghadapi kesusahan ini adalah sangat tidak sesuai dan memberikan indikasi bahawa parti yang mendesak adalah hanya memikirkan diri individu mereka sahaja.
“Justeru itu, mereka yang menekan sehingga keputusan pembubaran ini dibuat merupakan liabiti pada negara dan wajar ditolak dalam PRU yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Ketika ini, Pas mentadbir di tiga negeri iaitu Terengganu, Kedah dan Kelantan.
Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan turut melahirkan kekecewaan kerana pilihan raya diadakan dalam keadaan yang tergesa-gesa.
Petang tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa, hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada PRU15.
Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pula menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa justeru, tidak mempunyai pilihan, selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri bagi memulangkan mandat rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil.
Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, Seri Paduka juga menzahirkan harapan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan PRU15 dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan November ini.-UTUSAN