Kembar tiga teruja sambung belajar di USM - Utusan Malaysia

Kembar tiga teruja sambung belajar di USM

KEMBAR tiga, Mohamed Azmin Dawlath Mohamed (kanan), Mohamed Azrul (tengah) dan Mohamed Azwan teruja kerana berjaya melanjutkan pengajian di USM, Pulau Pinang. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Tiga beradik kembar tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan teruja apabila diterima melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Ketiga-tiga mereka, Mohamed Azmin Dawlath Mohamed, 22; yang merupakan abang sulung dan Mohamed Azwan serta Mohamed Azrul berjaya menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan di USM.

Mohamed Azmin berkata, ketiga-tiga mereka tidak pernah berpisah sejak dari sekolah kebangsaan sehinggalah pengajian di peringkat universiti.

”Sebelum ini kami belajar di Sekolah Kebangsaan Seri Permai, peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Tun Uda dan kemudian kami sambung pengajian diploma di Politeknik Seberang Perai. Kami memang tidak pernah berpisah dan amat bersyukur kerana ketiga-tiga kami diterima melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di USM,” katanya ketika ditemui hari ini.

Ketiga-tiga mereka merupakan antara 4,283 calon lepasan Matrikulasi, Asasi/ Diploma dan setaraf yang telah menerima tawaran bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda (Penuh Masa) dan Diploma di USM bagi kesemua kemasukan sidang akademik 2022/2023.

Mohamed Azmin yang berasal dari Bayan Lepas dekat sini berkata, ketiga-tiga mereka mempunyai minat yang sama iaitu dalam bidang pendidikan.

Malah katanya, cita-cita mereka juga hampir sama iaitu mahu bergelar pensyarah dan guru.

”Semua perkara kami lakukan bersama-sama, ketika belajar di peringkat diploma segala tugasan yang diberikan pensyarah kami selesaikan bersama-sama. Kami beruntung kerana sentiasa diberi rezeki untuk sentiasa berada bersama-sama dan saling membantu antara satu sama lain,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa yang menjalankan fungsi Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Narimah Samat berkata, USM menyediakan 1,000 kit keperluan asas percuma kepada penuntut baharu (kelompok B40) kemasukan sidang akademik 2022/2023 bagi meringankan beban mereka.

“Kit keperluan asas ini merangkumi selimut, cadar, bantal, baldi, beg kanvas dan keperluan lain bagi memudahkan penuntut baharu memulakan kehidupan sebagai mahasiswa di USM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN