KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ezad Lazim, 42, menolak dakwaan mengaitkan ketiadaannya pada Konsert Resolusi Exists yang dijadualkan berlangsung pada 18 November depan kerana perselisihan faham dengan anggota kumpulan itu.
Tegas Ezad, andaian itu tidak benar dan tidak sepatutnya ditimbulkan kerana ia membawa kekeliruan serta salah faham dalam kalangan peminat Exists.
“Kami tidak bergaduh atau berselisih faham, malah hubungan kami baik. Kami okey sahaja.
“Sekali lagi saya nyatakan, ketiadaan saya disebabkan komitmen terhadap showcase di Langkawi. Kami telah bincangkan tentang hal ini dan cuba mencari tarikh lain untuk konsert tersebut, namun tidak berjaya kerana kekangan masa.
“Saya harap isu gaduh dan sebagainya tidak ditimbulkan lagi. Diharapkan juga peminat faham dan menyokong konsert itu nanti,” katanya ketika ditemui pada sidang media pementasan Jula Juli di Istana Budaya, baru-baru ini.
Konsert Resolusi Exists bakal digegarkan tiga vokalis termasuk Mamat, Pasha dan Eiz yang akan beraksi membawakan himpunan lagu popular kumpulan tersebut.
Kata Ezad lagi, dia berharap peminat akan datang menyaksikan konsert itu nanti bagi melihat sendiri kelainan yang bakal ditampilkan Exists dengan gabungan tiga vokalis tersebut.
“Saya faham, mungkin ada peminat yang mahu melihat saya beraksi bersama Exists pada konsert itu. Tapi, mungkin bukan rezeki kami kali ini.
“Kehadiran Eiz dan Pasha akan memberi kelainan terhadap lagu yang saya nyanyikan bersama kumpulan itu. Saya harap peminat tidak lepaskan peluang menyaksikan keistimewaan itu.
“Ketiadaan saya bukan masalah. Kami ada merancang untuk bergabung dan membuat persembahan di Sibu, Sarawak, tetapi butirannya akan kami kongsi kelak. Buat masa ini, anggota Exists masih okey dan tetap bersama,” katanya.