KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan mempersoal tindakan pembangkang yang sering membantah jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.
Menggunakan alasan banjir dan menganggap kerajaan yang tidak bertanggungjawab, jelas Saravanan, tiada siapa pun setakat ini mengumumkan bila Pilihan Raya Umum (PRU), malah juga mempertikai mengapa pembangkang yang beriya-iya ingin mempertahankan kerajaan kini.
“Tiada siapa yang kata nak adakan pilihan raya sewaktu banjir, setakat ini tidak ada siapa-siapa yang sebut bila pilihan raya, sama ada ia musim banjir atau tidak.
“Kalau bubar parlimen, kenapa pembangkang nak risau? Rakyat akan sokong you (awak). Bagi lah kita buat kesilapan, ini macam nak pertahankan kerajaan kita, buat apa?
“Kenapa you nak risau?” soalnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab celahan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang menjelaskan kerajaan tidak patut mengadakan PRU pada musim tengkujuh dan ia menunjukkan kelemahan kerajaan yang dilihat tiada plan dalam menyelamatkan mangsa banjir.
Namun Saravanan berkata, polemik PRU semasa banjir adalah idea yang dicipta Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang dianggap sebagai ‘insan ajaib’.
“Jangan nak salahkan Rafizi sahaja, ini pendirian semua parti pembangkang, ini musim tengkujuh, tak patut. Kenapa setiap kali banjir, kerajaan seperti tidak berdaya langsung membantu menyelamatkan mangsa banjir, plan hadapi banjir serentak dengan PRU,” jelas Guan Eng. – UTUSAN