Kakitangan Penjara Penor raih Anugerah Tenun Pahang Diraja

Kakitangan Penjara Penor raih Anugerah Tenun Pahang Diraja

TUNKU Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyampaikan anugerah Sulaiman Abd Ghani kepada Penjara Penor, Ahmad Firdaus Razali (lima, kiri) dan Mohd. Shahrul Amir Muda (tiga, kanan) ketika Majlis Anugerah Kreatif 2022 Jabatan Penjara Malaysia di Sepang Selangor. -UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Dua kakitangan Penjara Penor, Kuantan, Pahang dinobatkan pemenang kategori Tenun Pahang Diraja sempena Anugerah Kreatif Tenun Pahang Diraja, Songket, Batik dan Kraf Jabatan Penjara Malaysia 2022.

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Bagi kategori songket pula, ia dimenangi oleh Fadhil Ab. Rashid dan Masdi Salim dari Penjara Marang, manakala kategori batik pula diraih Wan Mohd. Hafiz Wan Hamid dan Zulkifli Husein dari Penjara Pengkalan Chepa.

Dalam pada itu, kategori warna alam dimenangi Mohd. Shahrul Amir Muda dan Ahmad Firdaus Mohd. Razali dari Penjara Penor.

Setiap johan bagi kategori berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 beserta trofi dan sijil.

Sementara itu, Mohd. Shahrul Amir dan Ahmad Firdaus turut dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Sulaiman Abdul Ghani.

Turut berangkat ke majlis itu adalah anakanda Seri Paduka, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah. 

Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Datuk Nordin Mohamed.

Anugerah kali ini bertemakan Kreativiti Melestari Tradisi dan ia dianjurkan sebagai mengiktiraf usaha dan komitmen warga Jabatan Penjara terutama bagi penghuni dan kakitangan sebagai fasilitator yang terlibat dalam Bengkel Tenun Pahang Diraja, Songket dan Batik.

Pertandingan ini juga dapat melengkapkan konsep pemulihan melalui ‘Seni Sebagai Terapi Diri’ serta memberi lonjakan semangat dan motivasi kepada penghuni.

Anugerah Kreatif ini dapat merealisasikan ‘Beauty Behind The Wall’ (Kecantikan Disebalik Tirai Besi) yang menonjolkan kehebatan daya cipta warga Jabatan Penjara Malaysia dalam membangunkan industri fabrik agar lebih berdaya saing.

Sebelum ini, Raja Permaisuri Agong turut mengangkat seni warisan negara melalui produk Tenun Pahang Diraja di pentas antarabangsa menerusi  pameran London Craft Week pada 9 hingga 15 Mei lalu di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London, United Kingdom. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.