KUALA LUMPUR: Kadar inflasi negara jauh lebih tinggi iaitu sebanyak 10.6 peratus berbanding 4.7 peratus pada bulan Ogos 2022 sekiranya tiada subsidi yang disediakan oleh kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia adalah berdasarkan anggaran Jabatan Perangkaan Malaysia dan dasar serta inisiatif kerajaan telah berjaya memulihkan ekonomi negara yang kini sedang menghadapi pelbagai cabaran domestik serta global.
“Pada tahun 2023, kesemua pakar ekonomi, termasuk daripada pertubuhan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia meramalkan pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih rendah.
“Malaysia, sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, tidak terkecuali daripada terkena tempias daripada cabaran ini.
“Langkah-langkah untuk menangani cabaran-cabaran ini akan diperincikan dalam Bajet 2023,” katanya semasa pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.
Terdahulu, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) meminta kerajaan menjelaskan senario cabaran ekonomi dalam dan luar negara serta apakah tindakan kerajaan menanganinya demi menjaga kebajikan rakyat Malaysia.
Mustapha turut mengulas mengenai kesan mata wang yang jatuh terhadap Bajet dan pembayaran hutang yang perlu dibayar oleh kerajaan dalam dolar Amerika Syarikat.
Katanya, hutang langsung kerajaan tidak sampai lima peratus dalam dolar Amerika Syarikat.
“Kebanyakan hutang kerajaan pusat adalah dalam ringgit Malaysia. Jadi kalau hutang langsung kerajaan pusat, kesannya kecil sekali,” katanya bagi menjawab soalan Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi). – UTUSAN