JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial bahawa telur ayam tercemar mengandungi bakteria dijual semula di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, sekiranya benar telur ayam itu didapati tercemar di Singapura, ia tidak akan dijual, sebaliknya terus dilupuskan.
Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) belum ada menerima apa-apa aduan daripada orang awam mahupun Jabatan Veterinar Negeri Johor (JVNJ) mengenai telur ayam tercemar dijual dalam pasaran ketika ini.
“Tahap keselamatan di Singapura adalah lebih ketat berbanding di Malaysia. Saya nak maklumkan, jika mengikut laporan daripada Singapura mungkin ada aduan telur kita tercemar, barang-barang itu tidak pulang kepada Malaysia.
“Orang ramai beranggapan telur tercemar itu akan dipulangkan kepada Malaysia untuk dijual di pasaran sini, itu tidak benar sama sekali bahkan telur itu akan terus dilupuskan,” katanya ditemui selepas menyempurnakan Pertandingan Koir Kebangsaan di Auditorium RTM Johor, di sini hari ini.
Sabtu lalu, Agensi Makanan Singapura (SFA) mengarahkan telur yang diimport dari sebuah ladang di Malaysia ditarik balik selepas mengesan ‘Salmonella Enteritidis’ (SE) dalam produk terbabit.
Memetik laporan CNA, telur berkenaan dibekalkan Teo Seng Layer Farm 1 dengan dikenal pasti melalui kod ‘CEJ027’ yang tertera pada kulitnya.
Baru-baru ini tular dalam media sosial yang mengingatkan orang awam untuk berhati-hati sekiranya berlaku lambakan bekalan telur di Johor Bahru.
Tian Soon berkata, JVNJ akan mengambil langkah proaktif dengan lebih kerap membuat pemeriksaan susulan laporan telur tercemar tersebut, namun setakat ini JKNJ belum menerima sebarang aduan daripada orang awam atau pun JVNJ.
“Bagi pemeriksaan tahap keselamatan makanan, JVNJ akan membuat pemeriksaan secara berkala yang kerap di setiap reban yang membuat ternakan ayam dan telur ayam.
“JVNJ akan mengambil sampel daripada reban tersebut untuk membuat pemeriksaan mengikut piawaian tersendiri,” katanya. – UTUSAN










