KUALA TERENGGANU : Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak sekali-kali mengundi golongan yang salah dan sesat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November depan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut mengingatkan pengundi agar keluar menunaikan tanggungjawab mereka dalam untuk memilih kerajaan baharu melalui sistem demokrasi berparlimen di negara ini.
“Jangan sekali-kali tidak keluar mengundi sehingga mengakibatkan kemenangan kepada puak yang tidak sepatutnya.
“Justeru, tunaikanlah tanggungjawab sebagai pengundi dengan memilih kerajaan yang benar-benar menunaikan amanah Allah SWT, yakni kerajaan yang beraqidah, beriman, dan berakhlak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya hari ini.
Tambah Abdul Hadi, segala kepercayaan, percakapan, hatta pekerjaan seseorang pasti akan dihisab dan dipertanggungjawabkan pada hari akhirat kelak, sama ada hubungannya dengan Allah SWT mahupun sesama manusia dan makhluk yang lain.
Menurutnya, hal itu termasuklah dalam soal pengundian dan pemilihan kepimpinan negara, sama ada seseorang itu turun mengundi ataupun tidak, semuanya direkodkan dalam catatan amal malaikat dan berada di bawah penilaian Allah SWT.
“Ada pihak yang mengambil keputusan untuk tidak mahu mengundi dalam pilihan raya dengan pelbagai alasan yang dangkal seperti politik itu kotor, semua parti politik adalah sama, undi tidak mengubah apa-apa, sistem demokrasi ialah sistem kuffar dan sebagainya.
“Walhal dia sebenarnya turut terlibat sama dalam menentukan apa yang berlaku dalam kehidupan mereka dan masa depan mereka.
“Lebih buruk, tindakan mereka yang tidak turun mengundi itu membawa implikasi kemenangan kepada pihak yang sesat, salah, tidak amanah, dan tiada integriti untuk menjadi pemimpin negara,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 19 November depan sebagai hari pengundian bagi PRU-15 manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 Nov 2022. –UTUSAN










