Jalan berlubang ke Taman Negara undang ‘bencana’

Jalan berlubang ke Taman Negara undang ‘bencana’

MOHD. Zamri Jaafar (kiri) dan Ramzi Che Cob menunjukkan jalan berlubang di selekoh jalan menuju ke Kuala Tahan berhampiran Kampung Paya Garuk, di Jerantut, Pahang. – FOTO/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Jalan rosak dan berlubang di Jalan Kuala Tahan berhampiran Kampung Paya Garok menuju ke Taman Negara di sini, menimbulkan kegusaran dalam kalangan pengguna jalan itu.

Dakwa mereka, jalan yang rosak dan berlubang itu mampu mengancam keselamatan pengguna baik dalam kalangan penduduk sekitar mahupun orang luar yang melalui jalan tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengguna jalan itu, Mohd. Zamri Jaafat, 43, berkata, jalan di selekoh di situ sudah banyak kali dibaik pulih, namun ia seperti sekadar melepaskan batuk di tangga.

“Mereka hanya menampal tempat rosak dan inisiatif itu tidak tahan lama. Sebelum ini baru seminggu jalan itu ditampal, kini ia sudah rosak kembali.

“Laluan ini lebih sesuai di­tambak memandangkan ia rendah dan sering dinaiki air. Mungkin kerana itu ia sering berlubang. Kalau hanya tampal tidak memadai,” katanya di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, dia dan pengguna lain sudah beberapa kali membuat aduan mengenai masalah itu yang berlarutan kira-kira 10 tahun lalu.

“Ini merupakan laluan utama pengguna menuju ke Taman Negara Kuala Tahan. Harap pi­hak bertanggungjawab segera membaik pulih jalan itu demi keselamatan semua pengguna,” ujar­nya.

Seorang lagi pengguna, Mohd. Mokhtar Mat Sah, 47, berkata, tahun lalu, dia terpaksa menghabiskan wang RM1,000 membaiki keretanya yang rosak ketika melalui laluan berlubang itu.

“Ketika melalui jalan itu, saya tidak perasan ada lubang kerana air penuh. Saya sangka tidak dalam, rupanya air agak dalam.

“Kereta saya rosak kerana air masuk ke dalam enjin. Disebabkan itu saya terpaksa membe­lanjakan RM1,000 untuk membaik pulih kereta saya,” katanya.

Bagi seorang lagi pengguna, Ramzi Che Cob, 46 berkata, permukaan jalan yang rosak dan berlubang sehingga menakung air itu juga sering mengakibatkan kejadian kemalangan.

“Kebanyakan pengguna jalan ini datang dari luar daerah ini untuk ke Taman Negara Kuala Tahan, mereka yang tidak biasa dengan laluan ini pasti tidak perasan dengan jalan yang rosak dan berlubang memandangkan ia berada di selekoh,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN