Ismail Sabri Perdana Menteri paling singkat - Utusan Malaysia

Ismail Sabri Perdana Menteri paling singkat

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri yang paling singkat dalam sejarah politik tanah air apabila hanya menyandang jawatan itu dalam tempoh 14 bulan ekoran keputusan pembubaran Parlimen berkuat kuasa semalam.

Perkembangan itu secara tidak langsung meletakkan Ahli Parlimen Bera itu memecah rekod Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri paling singkat yang hanya berkuasa selama 17 bulan ekoran kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Meskipun dalam tempoh singkat, namun Ismail Sabri telah banyak menyumbang jasa kepada agenda transformasi negara termasuk kejayaan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti bagi mengekang ahli Parlimen melompat parti dan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Malah di bawah pentadbiran beliau, negara berjaya beralih daripada fasa pandemik Covid-19 kepada peralihan endemik sekali gus menyaksikan pembukaan pintu sempadan dan kelonggaran pelbagai sekatan pergerakan.

Pada 21 Ogos 2021, Ismail Sabri mengangkat sumpah Perdana Menteri yang kesembilan di hadapan di Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas peletakan jawatan Muhyiddin kerana hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen.

Sebelum itu, Istana Negara menerima pencalonan nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli Parlimen, masing-masing menerusi surat akuan (SD).

Mengikut SD berkenaan seramai 114 Ahli Dewan Rakyat mencalonkan Ismail Sabri, sekali gus memperoleh jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Susulan itu, Seri Paduka berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN