Inovasi sosial penting - PM

Inovasi sosial penting – PM

ISMAIL SABRI Yaakob (tengah) menandatangani plak Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia sebagai gimik pelancaran Majlis Perasmian Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia di Bera, Pahang. - UTUSAN/AZIZAH SHAFIEI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Ketidaktentuan ekonomi dunia menjadikan inovasi sosial semakin penting dalam merangsang pasaran sosial yang lebih dinamik, inklusif dan mampan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inovasi sosial mampu mengurangkan jurang ketidaksamaan dalam ekonomi bandar dan desa selain dapat mengetengahkan inovasi tradisional sebagai satu punca ekonomi yang berdaya saing.

Katanya, melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), lebih RM50 juta diperuntukan untuk pendanaan pembangunan inovasi berteknologi dan automasi, pemilikan paten, bimbingan kapasiti diri, penubuhan syarikat dan diffusion produk.

“Inovasi sosial tidak seharusnya dilihat sebagai projek atau inisiatif sekali sahaja kerana perlu disokong oleh minda keusahawanan agar proses menjana sumber baharu sentiasa berkembang, selari dengan pertumbuhan organisasi dan daya saing pasaran yang mampan.

 “Saya menyeru institusi-institusi korporat turut memberi sokongan kepada kerajaan dan bekerjasama dengan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) sebagai ejen inovasi sosial yang menyokong pembangunan inovator akar umbi kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ruang Reka Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) Keluarga Malaysia Bera di Felda Bukit Puchong, di sini hari ini.

Program itu salah satu usaha memartabatkan pembudayaan STIE dalam komuniti luar bandar, golongan B40 dan yang terkesan Covid-19.

Seramai 6,000 pereka inovasi akar umbi yang dibangunkan Mosti sejak dari 2012 berjaya membawa penyelesaian masalah semasa yang dihadapi komuniti setempat dalam pelbagai bidang.

Ismail Sabri berkata, lebih banyak idea STIE yang menarik dan berdaya maju diperlukan melibatkan teknologi automasi, pembelajaran mesin dan data raya (big data), kepintaran buatan (AI), teknologi robotik serta Internet benda (IoT) sehingga mampu memberi nilai tambah kepada masyarakat setempat.

“Saya berharap melalui penyediaan platform seperti Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia ini akan menggalakkan lebih ramai inovator akar umbi tampil dengan inovasi dan teknologi yang boleh dikomersialkan,” ujarnya.

Setakat ini, Mosti telah membangunkan tujuh Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia iaitu di Paroi, Negeri Sembilan; Kuala Terengganu, Terengganu; Kota Tinggi dan Kluang Johor; Tumpat, Kelantan; Langkawi, Kedah dan Bera, Pahang.

Lima lagi Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia akan dibangunkan tahun ini iaitu di Sabah, Sarawak, Melaka, Perak Dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya