Imigresen berkas 39 PATI

Imigresen berkas 39 PATI

SEBAHAGIAN PATI yang diberkas kerana tidak memiliki dokumen perjalanan diri dan pas pekerja yang sah dalam serbuan di sebuah kilang di Kawasan Perusahaan Ringan PKNK di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, malam tadi. -UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Usaha beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri dengan bersembunyi di bawah timbunan plastik dan dalam bilik terbiar gagal apabila dicekup Imigresen Kedah dalam serbuan, malam tadi.

Serbuan bermula pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi di kilang terletak di Kawasan Perusahaan Ringan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) di Taman Ria Jaya dalam Op Mahir itu melibatkan 27 pegawai.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd. Ridzzuan Mohd. Zain berkata, seramai 39 PATI ditahan kerana pelbagai kesalahan selepas pemeriksaan dilakukan terhadap 168 pekerja di kilang kitar semula bahan plastik itu.

“Serbuan dilakukan selepas kita mendapat maklumat kilang itu menggaji pekerja warga asing tanpa dokumen pengenalan diri dan pas yang sah. 

“Hasil pemeriksaan kita menahan 36 lelaki warga Myanmar, dua lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki warga Bangladesh berumur antara 25 hingga 50 tahun,” katanya.

Menurut Mohd.Ridzzuan, mereka ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan dan Seksyen 15(1)(c)1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan diri yang sah. 

Katanya, walaupun tidak berdepan detik cemas seperti mengejar atau PATI bertindak agresif, anggotanya terpaksa memasuki bilik kotor dan tandas terbiar yang terlalu busuk untuk memberkas mereka.

“Siasatan turut mendapati kehadiran kita ke kilang ini dikesan melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dikawal seorang pekerja sebelum PATI yang tidak mempunyai dokumen lengkap diarah menyembunyikan diri.

“Namun disebabkan kecekapan anggota Imigresen menghidu gerak-geri mereka, kesemua mereka akhirnya berjaya ditemui,” katanya. 

Tambahnya, kesemua PATI yang ditahan dibawa untuk proses dokumentasi di Pejabat Imigresen sebelum tindakan lanjut dikenakan terhadap mereka. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.